SRI AMAN: Seorang lelaki berusia 32 tahun maut dalam kemalangan yang melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan sebuah lori yang membawa tiang simen di Kilometer 13 Jalan Sri Aman- Betong dekat sini semalam.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 4 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Cedric Lim pemandu 4WD disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam lebih kurang 4.06 petang sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi didapati pemandu 4WD tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sri Aman DSO Othman Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, menurut saksi di tempat kejadian 4WD cuba memotong di jalan lurus tetapi gagal sebelum merempuh lori tersebut dan kedua-dua kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan. - Sarawakiana
Beliau berkata, menurut saksi di tempat kejadian 4WD cuba memotong di jalan lurus tetapi gagal sebelum merempuh lori tersebut dan kedua-dua kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan. - Sarawakiana