PEMBATALAN PERJANJIAN PENJUALAN BANDAR MALAYSIA: MASALAH 1MDB TIDAK AKAN SELESAI DAN AKAN TERUS MENGHERET NAJIB



Saya merujuk kepada laporan-laporan media mengenai pengumuman tarikh luput tempoh masa memenuhi syarat-syarat perjanjian jual beli tanah-tanah Pengkalan Udara Sungai Besi (yang kini dipanggil “Bandar Malaysia”) yang dibuat oleh TRX City Sdn Bhd, iaitu syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) yang mengambil alih projek itu dari 1MDB.
Pengumuman itu menyatakan bahawa syarikat usahasama milik Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd dan China Railway Engineering (M) Sdn Bhd (“CREC” yang dimiliki anak syarikat Kerajaan China) telah gagal membayar jumlah yang ditetapkan bagi pegangan 60% di dalam pembangunan Bandar Malaysia (yang diumumkan berjumlah RM7.42 bilion).
Pengumuman ini bermakna pengumuman-pengumuman sebelum ini bahawa kononnya pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak telah berjaya menstrukturkan kembali hutang-hutang 1MBD dengan sendirinya terbatal. Secara langsung, ia mengesahkan hakikat bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib masih belum ada jalan untuk menyelesaikan masalah hutang 1MDB yang kini ditanggung oleh rakyat dan bakal diwariskan.
Penjualan 60% pembangunan Bandar Malaysia semasa diumumkan dihujung tahun 2015 lalu telah mengundang kemarahan rakyat kerana ia pertama kali sebuah pengkalan udara yang sangat strategik dan bersejarah dipindahkan dan tanahnya dijual kepada syarikat yang dimiliki sebuah kerajaan asing. Alasan yang diberikan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib pada ketika itu ialah keperluan nasional untuk menstrukturkan semula hutang-hutang 1MDB.
Walau bagaimana pun, terbatalnya penjualan tersebut bermakna hutang yang ditanggung oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd (anak syarikat 1MDB) dan 1MDB keseluruhannya masih kekal tidak diselesaikan.
Ini termasuklah sejumlah RM1.55 bilion yang perlu dibayar kepada Tabung Haji akibat kertas hutang sukuk yang diterbitkan Bandar Malaysia Sdn Bhd dan dibeli oleh Tabung Haji dalam tahun 2014. Bayaran pokok pertama yang perlu dibuat kepada Tabung Haji ialah 2021 (empat tahun dari sekarang) dan bakinya dalam tahun 2024.
Sebab itu, saya mendesak kepimpinan Tabung Haji untuk memberikan maklumbalas untuk menenangkan pendeposit di seluruh negara dalam keadaan belum ada tanda-tanda dana Tabung Haji berjumlah RM1.55 bilion itu akan dapat dibayar sepenuhnya tanpa melibatkan penggunaan dana awam yang lain.
Pembatalan perjanjian akibat kegagalan syarikat usahasama IWH-CREC ini membayar jumlah yang dipersetujui juga mempunyai kesan yang lebih besar kepada masa depan politik Dato’ Seri Najib. Pemerhati politik dan ekonomi sedia maklum bahawa kekuatan kewangan syarikat milik Kerajaan China (iaitu CREC) adalah sebab utama kenapa tanah yang begitu strategik dijual kepada satu syarikat usahasama asing. Malah kebelakangan ini, Dato’ Seri Najib dilihat cukup akrab dengan Kerajaan China sehingga menimbulkan spekulasi sebahagian besar dana yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah kewangan akibat 1MDB berkemungkinan datangnya dari China.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :