Penentang Enggan Runding


ASTANA: Kumpulan penentang rejim Syria semalam berkata, mereka menggantung penyertaan dalam pusingan terbaru rundingan damai yang bermula di sini semalam kerana membantah serangan udara berterusan terhadap penduduk awam.

Pusingan baru rundingan itu sepatutnya membincangkan pelan untuk mewujudkan zon selamat.

“Kami menggantung penyertaan dalam rundingan itu kerana serangan udara yang menyasarkan orang awam masih diteruskan oleh rejim Bashar al-Assad. Kami tidak akan berunding sehingga pengeboman dihentikan di seluruh Syria,” menurut sumber kumpulan itu di Astana.

Perwakilan kerajaan dan kumpulan penentang itu berada di ibu negara Kazakhstan itu untuk memulakan pusingan keempat rundingan damai yang ditaja oleh penyokong Bashar, Russia dan Iran, serta penyokong penentang, Turki.

Rundingan pusingan terbaru itu bermula dengan beberapa siri mesyuarat dua hala dan ditetapkan untuk memberi tumpuan terhadap rancangan Russia bagi mewujudkan zon selamat di Syria.

Menurut rancangan berkenaan, zon itu akan diwujudkan di kawasan yang dikuasai penentang di Idlib, wilayah di barat laut Syria, di sebahagian wilayah Homs dan Ghouta Timur berhampiran Damsyik.

Tujuannya ialah untuk menamatkan keganasan dan menyediakan keadaan selamat untuk penduduk yang melarikan diri dari kawasan itu pulang secara sukarela.

Ia juga akan menyaksikan penghantaran serta-merta bantuan makanan dan ubat-ubatan.

Sekatan jalan raya dan pusat pengawasan akan didirikan di sekitar zon berkenaan dan dikendalikan oleh tentera kerajaan serta pejuang penentang.

Khidmat tentera beberapa negara pemerhati mungkin digunakan.-myMetro

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :