PUTRAJAYA: PETRONAS tampil dengan tajaan RM7.5 juta hingga RM15 juta bagi menjayakan Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean (APG) Kesembilan atau Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata tajaan kategori platinum itu merangkumi wang tunai, barangan dan perkhidmatan serta sokongan pemasaran.
Khairy berkata, PETRONAS juga bakal dikenali sebagai Rakan Bahan Api Rasmi KL2017, dengan minyak PETRONAS Primax akan digunakan pada 300 kenderaan rasmi KL2017.
"Sempena kerjasama ini juga, PETRONAS akan mengeluarkan Kad Mesra Touch n Go dan PETRONAS Gift Card edisi khas KL2017, yang boleh didapati di mana-mana stesen PETRONAS terpilih seluruh negara mulai Jun nanti.
"Orang ramai juga boleh mendapatkan barangan rasmi KL2017 seperti patung maskot Rimau dan bekas minum di stesen minyak PETRONAS terpilih.
"Selain itu, antara yang masih lagi dalam perbincangan dengan pihak PETRONAS adalah iklan khas sempena sukan SEA oleh syarikat berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pertukaran dokumen penajaan antara Jawatankuasa Pengelola Malaysia Sukan SEA 2017 (MASOC) dan PETRONAS, di sini, hari ini.
Katanya, komitmen PETRONAS dalam industri sukan sama ada di peringkat negara atau antarabangsa amat konsisten dan kekuatan itulah yang diyakini dapat membantu mewujudkan suasana meriah KL2017.
Dalam pada itu, Khairy berkata, penajaan untuk acara itu kini telah mencapai RM71 juta daripada sasaran RM80 juta.
Beliau turut memaklumkan persiapan negara untuk sukan SEA pada Ogos ini berjalan lancar dan di tahap yang amat membanggakan. - Berita Harian Online
Beliau turut memaklumkan persiapan negara untuk sukan SEA pada Ogos ini berjalan lancar dan di tahap yang amat membanggakan. - Berita Harian Online