KUCHING: Barisan Nasional (BN) mempunyai pendekatan dan strategi tersendiri bagi merampas kerusi Pujut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal berlangsung pada 4 Julai akan datang.
"BN mempunyai pendekatan dan strategi tersendiri dalam mencapai objektif berkenaan," kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika ditemui media selepas Persidangan Antarabangsa Mengenai Teknologi Maklumat di Asia (CITA) ke-10 2017 di sini, semalam.
Menurutnya, kita perlu optimis dan kita mempunyai contoh pendekatan pada Pilihan Raya Negeri lepas di mana kita merampas kembali beberapa kerusi daripada pembangkang.
"Pengundi bukan Cina memainkan peranan penting dan BN akan terus menggunakan pendekatan yang sama dengan memahami permasalahan rakyat," kata beliau yang juga memangku timbalan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Memetik laporan Utusan Borneo, beliau menegaskan BN berusaha menyelesaikan apa sahaja masalah mereka termasuk rumah setinggan, masalah sosial dan lain-lain.
"Dalam erti kata lain, kami perlu mendengar dari akar umbi," tambahnya.
"Apa yang penting kini adalah ia akan menjadi persediaan awal kepada BN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti," kata Uggah yang juga menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah. - Sarawakiana