Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, tinjauan pendapat yang dilakukan majalah Time tidak relevan dengan politik Malaysia.
Beliau menegaskan tinjauan pendapat majalah itu juga tidak akan mempengaruhi pendapat umum seperti mana mereka yang menyokong pembangkang, atau sebaliknya, dan tidak akan berubah hanya kerana ia menyatakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump lebih popular daripada Datuk Seri Najib Razak di luar bandar Pekan, Pahang.
“Bagaimana Time menjalankan tinjauan pendapat ini? Berapa banyak responden yang ditinjau dan di mana responden ini tinggal?
“Adakah Time mengatakan Najib dan 4 pemimpin lain dunia kurang popular daripada Trump di Terengganu dan Kelantan atau di kota raya New York?” soal beliau dalam blognya, sskeruak.blogspot.my, malam tadi.
Salleh berkata, bekas setiausaha negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton sepatutnya lebih popular daripada Trump, dengan bekas presiden, Barack Obama pun menyokongnya, tetapi Trump yang akhirnya memenangi jawatan presiden Amerika Syarikat.
“Time mengundi (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebagai tokoh dan lebih popular daripada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi Mahathir yang memenangi Pilihan Raya Umum 1999,” katanya.
Majalah Time dalam laporan yang disiarkan di laman webnya pada Selasa menamakan Najib dalam senarai 5 pemimpin dunia yang didakwanya kurang popular berbanding Trump.
Selain Najib, pemimpin lain ialah Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, Presiden Brazil, Michel Temer, Presiden Afrika Selata,n Jacob Zuma dan Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras.