PRU14: Jangan leka, selesa 3 penjuru - Zahid Hamidi

Senario politik ketika ini memberi gambaran semua kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan melibatkan pertembungan tiga penjuru, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata keputusan PAS yang mahu bersendirian dan tidak lagi menyertai pakatan pembangkang turut meningkatkan keyakinannya bahawa parti itu akan meletakkan calonnya untuk bertanding dan menjurus kepada pertandingan tiga penjuru.
"Ekosistem dan senario politik telah berubah, dahulu seolah-olah kita berada dalam sistem dua parti iaitu Barisan Nasional (BN) lawan pembangkang,,, kini di tengah-tengahnya ada PAS.
"Hampir pasti di kesemua kerusi akan hadapi (pertandingan) tiga penjuru. Kepastian ini kerana Majlis Syura Ulama PAS telah memutuskan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan PKR dan (sebelum ini memutuskan hubungan dengan) DAP, mereka (PAS) akan bersendirian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Himpunan Rakyat dan Pelancaran Jentera Jalinan Rakyat (JR Plus) Parlimen Marang, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan pemimpin kerajaan negeri.
Berikutan itu, Ahmad Zahid yang juga timbalan pengerusi BN berkata anggota parti komponen BN tidak boleh berada dalam keadaan selesa kerana pertembungan tiga penjuru bukanlah laluan mudah dan segala kemungkinan boleh berlaku.
"Jangan pernah leka dan selesa dengan tiga penjuru... jangan fikir tiga penjuru lebih mudah. Kita perlu bekerja keras dalam menghadapi situasi ini pada pilihan raya akan datang kerana kita yakin musuh politik kita mahu melihat kita kecundang di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata BN telah memutuskan supaya menghormati pendirian PAS untuk bergerak sendirian namun akan terus mengadakan kerjasama yang mampu memberi kelebihan kepada orang Melayu dan Islam.
"Hari ini terdapat kenyataan daripada pihak pembangkang yang sengaja menyalahkan UMNO kerana tidak membawa usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1955 atau Akta 355 di Parlimen, dan mempersoalkan keputusan PAS memutuskan hubungan baik dengan PKR," katanya.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :