Dalam konsortium tersebut, China Railway Engineering Corporation atau CREC menguasai 60 peratus pegangan dan selebihnya oleh Iskandar Waterfront Holding (IWH). Dalam IWH pula, kerajaan negeri Johor melalui Kumpulan Prasarana Rakyat Johor mempunyai 40 peratus kepentingan.
Penjualan 60 peratus Bandar Malaysia itu adalah pelan ketiga dalam proses mengurangkan hutang 1MDB yang sarat masalah dengan pelan pertama ialah pertukaran pemilikan dengan IPIC dan pelan kedua pula ialah penjualan saham Edra Energy kepada syarikat China pada November 2015.
Bagaimanapun, perjanjian Bandar Malaysia itu telah berakhir semalam. Asasnya ialah kerana IWH-CREC didakwa gagal membuat pembayaran sebagaimana yang dijanjikan.
Dilaporkan juga, konsortium itu turut diberi 10 kali lanjutan masa untuk membuat pembayaran sebanyak RM7.41 bilion bagi pemilikan 60 peratus saham itu tetapi gagal melaksanakannya.
Kenapa IWH-CREC gagal membuat pembayaran meskipun 10 kali diberi lanjutan masa sedangkan CREC adalah antara syarikat pembinaan terbesar di China?
Adakah mereka tidak mempunyai wang atau sengaja mengengkari perjanjian dengan tujuan untuk menarik diri daripada perjanjian?
Jika demikian, apakah yang menyebabkan mereka berbuat demikian?
Adakah kerana tidak yakin dengan pasaran hartanah masa depan atau mulai goyang dengan kepimpinan negara sedia ada yang entah mampu bertahan lagi atau bakal tumbang?
Hakikatnya, pembangunan Bandar Malaysia adalah projek besar yang memerlukan banyak wang untuk melaksanakannya. Dianggarkan keseluruhan kos untuk membangunkan Bandar Malaysia di Sungai Besi yang sebelumnya adalah tapak TUDM bernilai hampir RM200 bilion bagi tempoh 20 tahun akan datang.
Najib Razak ketika diberi taklimat berdasarkan gambaran artis mengenai Bandar Malaysia menyifatkan kawasan itu sebagai mercu tanda baru bagi pembangunan sebuah kota metropolitan.
CREC kemudian dilaporkan akan membangunan kawasan Bandar Malaysia menjadi sebuah mutiara di bawah tanah dengan pelbagai kemudahan meliputi pusat membeli-belah, terusan, hub pengangkutan, taman tema, perkampungan budaya, pusat kewangan, kediaman dan sebagainya.
Read More / Baca Lagi >>