KOTA KINABALU – Suspek lelaki warga Filipina yang bertindak menculik dan menjadikan seorang wanita sebagai tebusan dalam kejadian di Jalan Damai di sini malam tadi ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abdul Rakman berkata, suspek berusia 27 tahun itu direman sehingga 17 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati suspek positif dadah jenis syabu namun siasatan secara menyeluruh masih dijalankan," katanya sebentar tadi.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, seorang mangsa berusia 26, dijadikan tebusan kira-kira dua jam sebelum berjaya diselamatkan pasukan polis di sebatang jalan berdekatan Plaza Damai dekat sini malam tadi.
Mangsa telah diheret oleh suspek sejauh 1.5 kilometer dengan sebilah pisau sepanjang 0.1 meter pada lehernya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, merakamkan penghargaan kepada pasukan polis atas kepantasan menyelesaikan insiden tersebut tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
"Mangsa kini masih trauma dan telah dibenarkan keluar selepas dirawat di Hospital Queen Elizabeth 2,” jelasnya selepas merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Pemberitaan Pemerdagangan Manusia anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI), Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Majlis Anti-Pemerdagangan Manusia dan Anti-Penyeludupan Migran (MAPO) di Tawau hari ini. – K! ONLINE