TMJ tidak setuju Harimau Malaya ke Pyongyang

KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah baginda tidak bersetuju pasukan bola sepak kebangsaan ke Pyongyang bagi perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2019 pada 8 Jun ini.

Tunku Ismail bertitah baginda memandang serius isu keselamatan pemain-pemain negara dan FAM berada dalam keadaan sukar untuk melepaskan pemain beraksi pada perlawanan tersebut kerana situasi kurang meyakinkan di Korea Utara itu.

"Saya selaku Presiden FAM amat mengambil berat berkenaan isu keselamatan pemain-pemain negara dan agak sukar bagi saya sebenarnya dalam situasi ini untuk melepaskan mereka ke sana.

Sekiranya FAM tidak melepaskan Harimau Malaya pergi ke perlawanan tersebut di Pyongyang, Korea Utara akan diberikan kemenangan percuma 3-0.

"Tambahan lagi kita juga akan didenda sehingga US$50,000 (RM217,400) dan akan disingkirkan daripada pertandingan piala kelayakan di Asia.

Lebih membimbangkan adalah besar kemungkinan juga kita akan disingkirkan daripada mana-mana perlawanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada masa akan datang.

"Persoalannya ialah apa yang harus kita lakukan? Saya sememangnya mahukan perlawanan ini diadakan di negara berkecuali demi keselamatan para pemain negara," titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan FAM hari ini. - Bernama

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :