DHAKA: Kira-kira 300,000 penduduk di kawasan pantai di tenggara Bangladesh, terpaksa dipindahkan susulan Taufan Mora yang bertiup dengan kelajuan 85 kilometer sejam menuju ke kawasan itu.
Menurut pakar meteorologi, taufan itu ketika ini berada kira-kira 385 kilometer dari bandar pelabuhan Chittagong dan dijangka tiba di kawasan pesisiran pantai menjelang awal hari ini.
Jurucakap pihak berkuasa pengurusan bencana, Abul Hashim, berkata proses pemindahan penduduk giat dijalankan dan hampir 300,000 orang awam sudah ditempatkan di tempat perlindungan.
"Kami menyasarkan kemalangan sifar dan kami sedaya upaya memindahkan lebih satu juta penduduk sebelum taufan itu tiba, " katanya kepada AFP.
Sementara itu, pakar meteorologi, Abdur Rahman, berkata angin dijangka bertiup dengan kelajuan antara 89 hingga 117 kilometer satu jam, dengan lebat hujan dan guruh dijangka melanda seluruh kawasan Asia Selatan.
Berikutan itu, pejabat meteorologi mengeluarkan amaran bahawa kemungkinan berlaku banjir di kawasan pantai, berikutan taufan yang bakal melanda kawasan pinggir laut. AFP