WASHINGTON: Senator John McCain menyifatkan Presiden Vladimir Putin sebagai ancaman lebih bahaya kepada keselamatan global berbanding Daesh.
Beliau juga memberi amaran Senat akan mengenakan sekatan terhadap Moscow atas dakwaan campur tangan negara itu pada pilihan raya presiden November lalu.
McCain, yang mengetuai suara dasar luar di Kongres Amerika Syarikat (AS), berkata demikian dalam temubual di Australia, lokasi beliau mengadakan rundingan keselamatan ketika dalam perjalanan menghadiri sidang kemuncak keselamatan di Singapura.
"Saya rasa Putin ialah ancaman utama dan paling penting, lebih bahaya berbanding Daesh," katanya dalam temubual di televisyen Perbadanan Penyiaran Australia.
Katanya, walau tiada bukti Russia berjaya dalam mengubah keputusan pilihan raya AS, ia masih cuba mengubah pilihan raya, termasuk proses pengundian di Perancis baru-baru ini.
"Saya melihat Russia sebagai cabaran paling hebat yang kita hadapan.
"Jadi, kita perlu menaikkan sekatan dan berharap apabila kembali bersidang, Senat akan mengenakan sekatan ke atas Russia dan menggubal hukuman lain bagi tindak-tanduk mereka," katanya. - Reuters