KUANTAN - Masalah hubungan radio menjadi faktor utama bot membawa sembilan anak kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terputus hubungan dengan kapal KD Perdana di Perairan Sedili, Johor kelmarin.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, hubungan radio terputus itu berlaku selepas KD Perdana dan bot berkenaan melakukan operasi menggeledah dan mengusir bot nelayan asing di perairan berkenaan.
“Bot berkenaan tidak mengalami masalah enjin tetapi terputus hubungan radio dan tidak dapat mencari KD Perdana selepas operasi dilakukan.
“Selepas gagal mencari, bot berkenaan kehabisan minyak dan dihanyutkan arus,” katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini hari ini.
Ahmad Kamarulzaman berkata, jarak bot berkenaan ditemukan dari lokasi mula terputus hubungan adalah 108 batu nautika.
“Arus laut pada waktu kejadian adalah ke arah utara dan bot berkenaan telah dibawa arus menghala ke utara,” katanya. - UTUSAN ONLINE