Tiga Pegawai AADK Cedera Diserang


BUKIT MERTAJAM: Gara-gara tidak berpuas hati dengan serbuan dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang di sebuah pusat hiburan, sekumpulan lelaki melakukan rusuhan di hadapan pejabat agensi itu sehingga mengakibatkan tiga pegawainya cedera, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi, sekumpulan 10 lelaki melakukan provokasi kepada pegawai AADK yang melakukan proses dokumentasi ke atas beberapa individu yang ditahan di beberapa pusat hiburan sekitar Seberang Jaya.

Difahamkan, seorang daripada kumpulan lelaki itu tidak berpuas hati dengan tindakan pegawai AADK menahan beberapa rakannya kerana disyaki mengambil dadah.


“Suspek kemudian mengajak beberapa rakannya dari luar untuk membuat kecoh di hadapan pejabat agensi itu,” katanya

Sumber berkata, suspek cuba menarik tangan rakannya yang digari, susulan itu berlaku pergelutan di antara kumpulan suspek dan pegawai AADK sehingga menyebabkan tiga pegawai cedera.

“Beberapa pegawai AADK yang cuba menahan suspek cedera di tangan dan badan selepas bergelut dengan mereka.

“Seorang daripada suspek ditahan dan diserahkan kepada polis kerana cuba menghalang penjawat awam melakukan tugas dan mencetuskan rusuhan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasa dan Keselamatan AADK Pulau Pinang, Nasruddin Abdul Rahman berkata,95 individu diperiksa kerana disyaki mengambil dadah ketika berhibur pada operasi bermula jam 3.30 pagi itu.

“Semua pengunjung yang terdiri daripada 77 lelaki dan 18 wanita dibawa ke Pejabat AADK Daerah Seberang Perai Tengah bagi pemeriksaan lanjut serta proses dokumentasi.

“Ujian air kencing ke atas 29 lelaki dan 11 wanita mendapati mereka positif dadah dan ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya.-HMetro

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :