KUANTAN: Dua keputusan seri berturut-turut di Stadium Darul Makmur akan cuba diubah dengan kemenangan apabila Pahang melayan kunjungan Kelantan, Sabtu ini.
Dua perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur menyaksikan skuad bimbingan Dollah Salleh seri 2-2 dengan Selangor dan FELDA United (1-1) ketika Johor Darul Ta’zim (Johor DT) terus meninggalkan Pahang dengan kelebihan lima mata.
Justeru, pemain pertahanan Mohd Faisal Rosli yang masih diberi kepercayaan mengawal benteng akan memastikan mereka lebih kebal dan berbisa.
“Sebenarnya amat merugikan apabila kami gagal mengutip tiga mata ketika seri dengan Selangor dan FELDA di tempat sendiri.
“Oleh itu apabila bertemu Kelantan nanti, kami perlu tampil dengan aksi lebih kemas,” katanya semalam.
Ditanya peluang meraih tiga mata, Faisal berkata, tidak mustahil untuk mengecewakan Kelantan kerana Tok Gajah amat memerlukan kemenangan bagi merapatkan jurang mata dengan Johor DT.
Katanya, skuad itu mengenepikan seketika aksi separuh akhir kedua Piala FA kerana saingan Liga Super perlu diutamakan kerana mereka berada di tangga kedua.
“Sudah pasti kami akan melakukan yang terbaik. Saya percaya kami berupaya mengulangi aksi seperti mana ketika menang 2-1 di Kota Bharu,” katanya.-myMetro