"Jangan bandingkan saya dengan Najib. Saya membenarkan banyak perkara untuk dilaksanakan walaupun terdapat orang yang mencabar saya dalam parti saya.
"Najib memecat orang. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan beliau, akan diusir," kata Dr Mahathir dalam satu temubual bersama Financial Times.
Dr Mahathir berkata demikian selepas wartawan Financial Times yang menemubualnya cuba memberitahu bahawa beliau melakukan perkara sama ketika menjadi perdana menteri.
Dakwaan itu dinafikan Dr Mahathir.
Dr Mahathir yang merupakan pengkritik paling lantang Najib turut memberitahu bahawa beliau tidak mencuri wang negara dan berpuas hati dengan gajinya semasa menjadi perdana menteri.
"Saya gembira hidup dengan gaji saya yang mana bagi saya agak besar, lebih daripada cukup untuk keperluan saya," katanya.
Matlamat yang sama
Selain itu, perdana menteri keempat Malaysia itu juga berkata, ketika meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, negara ini dalam keadaan baik dan sedang menuju sebuah negara maju menjelang 2020.
"Sudah tentu, mereka (penggantinya) tidak dapat mencapai matlamat itu," kata Dr Mahathir lagi.
Perdana menteri didakwa terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dengan wang RM2.6 bilion didakwa didepositkan ke akaun peribadinya.
Bagaimanapun, perdana menteri secara konsisten menafikan dakwaan berkenaan.
Read More / Baca Lagi >>