WASHINGTON: Agensi Perisikan Pusat (CIA) menubuhkan unit khas yang berperanan menangani ancaman senjata nuklear Korea Utara.
Ia adalah unit yang pertama seumpamanya di dunia, yang menggabungkan sumber daripada pelbagai unit bagi menganalisis data senjata nuklear dan teknologi senjata balistik jarak jauh milik Pyongyang. Analisis data itu perlu bagi membendung ancaman tentera Korea Utara ke kawasan Pasifik.
Langkah CIA itu dipercayai susulan rancangan Korea Utara untuk melancarkan ujian nuklear keenamnya, yang meningkatkan kebimbangan rantau Asia Timur.
Bagaimanapun, setakat ini, Amerika Syarikat masih menolak kemungkinan untuk melancarkan serangan udara bagi menghalang Pyongyang daripada memperluaskan keupayaan senjata nuklearnya.
Pengarah CIA, Mike Pompeo, dalam satu kenyataan menyebut penubuhan unit itu membolehkan CIA mengintegrasikan segala arahan dan usaha bagi menangani ancaman terhadap Amerika Syarikat dan sekutunya yang ditimbulkan oleh Korea Utara.
Sementara itu, jurucakap CIA, Jonathan Liu, berkata seiring ancaman yang bersifat dinamik, CIA juga perlu terus berubah bagi menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.
Pada 2015, CIA menubuhkan 10 pusat misi menerusi program pemodenannya bagi mengatasi punca masalah yang timbul dalam setiap operasi. - AFP