Warkah Mimpi Yang Terganggu - buat Abdul Hadi Awang

SURAT TERBUKA
Dengan hormat agung,
Mengunjungi Al Fadhil Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.
Presiden Parti Islam seMalaysia (PAS), di tempat.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Syukur saya ke hadrat Allah swt kerana taufik dan hidayat, sir dan tajalli-Nya dapat saya siapkan surat ini yang dituju kepada Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. Izinkan saya membahasakan dirinya sebagai "Ayah Chik" pada sepanjang membicarakan isi surat ini.

Sebelum memulakan bicara dihamparkan sebidang doa panjang agar Ayah Chik diberikan kesihatan dan kesejahteraan oleh Allah swt serta dipelihara segala jasa pengorbanan perjuangannya menjadi pahala merenjisi lalu ke Jannah. Diberkati segala doa dan munajak Ayah Chik yang tidak pernah letih mengangkat tangan memohon keampunan dan kesejahteraan kepada sekalian kita hamba di Malaysia ini.

Allahyarham Tun Razak dan Mohd Asri Musa.
Mungkin ramai yang terkejut dengan pemaparan lembaran saya kepada Ayah Chik ini kerana sebelum ini saya dilihat kritikal dengan beliau. Prejudisnya kepada saya sangat besar sekali sehinggakan sebelum saya membuat surat ini sudah ada membimbangi saya menabur fitnah kering, lantas cuba menjarakkan kaki saya dengan lubang Neraka. Ah, jahil sangatkah saya ini.

Apapun itu terserah kepada pentafsiran masing-masing, saya bagaimana pun tetap dengan prinsip; "HANYA KITA MEMAHAMI DIRI KITA". Namun saya percaya masih tersisa orang ikhlas dan suci hati dengan saya serta mengenali saya, tidak akan terkaget dengan ulah saya ini.

Sesungguhnya saya tidak pernah peduli apa yang orang kata kepada saya apabila setiap kali saya menulis dan memperkatakan mengenai Ayah Chik. Itu adalah hak dan tanggungjawab mereka kepada Ayah Chik yang mereka juga sayang, sanjung dan hormati seperti mana saya juga. Tanggungjawab itu sesungguhnya saya hargai. Lagi pun saya walaupun sebagai pengulas politik, tetap dianggap atau diperhati umum seperti mana juga pengulas bola sepak dalam game bola sepak, walaupun tidak turun padang tetapi tetap dikritik.

Saya memahami itu semua. Mereka yang sayang dan kasih kepada Ayah Chik tidak dapat menerima teguran, hatta penggunaan bahasa kurang sopan sekalipun. Menyebut atau memanggil Ayah Chik dengan sebut Haji Hadi, atau Hadi, atau Guru Hadi, tidak memakai "Ustaz", pun sudah cukup membuatkan para penyayang Ayah Chik jadi berang. Belum lagi mengibaratkan Ayah Chik seperti "ikan keli dalam besen". Tindakan itu menunjukkan betapa sayang dan kasihnya mereka kepada Ayah Chik. Mahalnya rasa hormat dan menggunungnya rasa kagum kepada Ayah Chik. Baguslah.

Sebenarnya mereka yang marah itu tidak pernah tahu saya juga mempunyai perasaan dan naluri sama terhadap Ayah Chik. Sebahagian daripada adik-adik yang menyayangi dan menyanjungi Ayah Chik, hanya baharu muncul sehari dua ini sahaja. Mereka keluar bagaikan kelkatu selepas hujan dan tatkala malam disinar neon dari celah-celah lubang dan rongga-rongga busut.

Bahkan ada yang duduk sebaris dalam saf kepimpinan dengan Ayah Chik sendiri pun, mereka hanya baharu dapat menghidu wangi attar Ayah Chik belum pun sampai sedekad dua. Untuk pengetahuan, saya memuji dan memuja Ayah Chik sewaktu janggut dan misainya masih hitam dan dia masih sangat "kacak macak" lagi.

Wartawan kerdil.


Sewaktu Ayah Chik bersyarah dalam ceramah di Bukit Abal di Pasir Puteh tahun 1978/79, sayalah wartawan kerdil yang menjadi tukang lapor ucapan Ayah Chik dalam akhbar Watan. Kalau tidak salah saya isi ucapan beliau mengenai fahaman Assobiyyah itu disiarkan di muka hadapan tabloid tersebut. Saya menjaja berita itu ke segenap penjuru kampung.

Saya tidak mahu mengungkitkan kehebatan Ayah Chik dan pegangannya waktu itu mengenai bahaya fahaman Assobiyah. Kesungguhannya dalam serangan terhadap fahaman itu menyebabkan semua orang mengetahuinya, bahkan dunia mengetahuinya. Kehebatan dan keberanian Ayah Chik diiktiraf oleh media antarabangsa. Majalah berbahasa Inggeris (Time) yang terkenal juga pernah meramalkan Ayah Chik bakal menjadi pemimpin masa hadapan.

Dan ramalan itu menjadi kenyataan pun, apabila hari ini Ayah Chik adalah Timbalan Presiden Persatuan Ulama seDunia. Suatu pengikhtirafan yang belum pernah diterima oleh mana-mana tokoh agamawan di negara ini hatta oleh arwah "Murrabi zaman" Tokguru Nik Abdul Aziz sendiri. Ayah Chik bukan kebanggaan Malaysia sahaja tetapi se Nusantara tumpang rasa bertuah. Apakah apabila saya mengkritik Ayah Chik maka saya tidak pernah mengikhtiraf anugerah itu dan terbatal segala penyanjungan saya kepadanya sebelum ini? Begitulah secara simplistik dianggap oleh orang-orang mengasihi Ayah Chik.

Hari ini juga orang tidak pernah jemu dan lekang menyebut nama Ayah Chik. Nama Ayah Chik setanding bahkan dari sisi tertentu lebih hebat daripada nama Tun Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Datuk Seri Mohd Najib Razak. Ayah Chik berada di takhta tersendiri.

Saya tidak mahu membicarakan akan ketinggian dan kehebatan Ayah Chik dalam lembaran rengkas ini. Apa yang saya hendak perkatakan memberi sedikit pandangan serta ulasan kepada cara Ayah Chik berkancah politik dalam situasi dan perkembangan politik kontemporari negara ini.

Mungkin pandangan kecil saya ini dianggap, melukut di hujung gantang, yang hadirnya tidak memberi apa-apa makna dan erti, ada pun tidak mengenapkan gantang, tiada pun tidak mengurang cupak. Tetapi atas hak dan kebebasan bersuara dengarlah.

Fahami politik Ayah Chik.
Saya sangat memahami pegangan dan iktikad politik Ayah Chik. Ianya bersendi dan bersandar serta bertunjang prisip dan dasar Islam. Islam adalah akidah politik Ayah Chik. Pegangan dan tunjang ini sama dengan saya juga. Cuma apa yang berbezanya ialah bagaimana cara akidah politik itu hendak dipertegakkan menerusi gerakan siasah. Itu sahaja yang berbezanya. Pun begitu saya tidak menolak dan menidak akan teknik dan pendekatan yang diambil oleh Ayah Chik, walaupun ia dilihat oleh saya khasnya, ianya agak sedikit "goyang" atau merugikan parti PAS.

Ayah Chik mempunyai pandangan basirah yang tinggi. Dapat melihat jauh ke hadapan mencecah ke dalam ghaibul ghaib. Saya hanya melihat dari luar pagar ke atas fizikal yang ada. Tentunya penglihatan kita berbeza sama sekali. Saya nampak sesuatu yang tersuluh dan mampu dijangkau dengan mata zahir, berbeza Ayah Chik melihat dengan basirah -- mata batin. Makanya kerana perbezaan alat (ilmu) ini jika ada perselishan orang lain tidak berhak mengatakan saya salah sama sekali dan Ayah Chik betul belaka.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :