LANGKAWI: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun rentung manakala bapanya cedera dalam kebakaran membabitkan sebuah pondok pengawal di tapak pelupusan sampah di Jalan Bukit Tembok, dekat Kilim, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 3.05 pagi itu, kanak-kanak berkenaan dikatakan terperangkap ketika struktur terbabit terbakar, manakala bapanya sempat menyelamatkan diri.
Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Fadzlullah Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.10 pagi, sebelum tiga pegawai dan 13 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dikejarkan ke lokasi.
Katanya, sebaik tiba di lokasi usaha memadamkan kebakaran segera dilakukan ke atas struktur pondok pengawal berkenaan sebelum api dapat dikawal sepenuhnya jam 3.33 pagi.
"Dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemui rentung dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala lelaki berusia lingkungan 40-an yang mengalami kecederaan ringan pada kepala pula dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
"Sehingga kini punca kejadian itu masih disiasat dan operasi tamat sepenuhnya jam 4.43 pagi," katanya. - BHOnline