KOTA BELUD - Seorang wanita nyaris maut dipatuk ular tedung selar apabila menyangka reptilia terbabit seutas tali di Kampung Suang Punggur di sini hari ini.
Bagaimanapun, wanita berusia 32 tahun itu terselamat kerana terlebih dahulu menyuluh objek itu dan tidak bertindak memegang ular itu.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Kolonel Muliadi Al-Hamdi Ladin berkata, dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, pasukan APM Kota Belud berjaya menangkap seekor ular tedung selar sepanjang 4.2 meter dengan berat 10.8 kilogram.
"Selepas bersahur mangsa ke rumah bapanya di kawasan berdekatan. Ketika dalam perjalanan dia ternampak reptilia tersebut yang disangkakan tali.
"Wanita itu bernasib baik kerana terlebih dahulu menyuluh objek tersebut sebelum bertindak melulu mendekatinya," katanya hari ini.
Menurut Muliadi Al-Hamdi seramai empat anggota APM dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.10 pagi.
"Operasi menangkap ular tedung selar itu selesai kira-kira pukul 6.20 pagi tadi.
"Direkodkan ia adalah ular yang terpanjang di daerah Kota Belud," ujarnya. - K! ONLINE