PEKAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian 'duit raya' kepada 33,864 pekebun kecil di seluruh negara menerusi pengagihan dividen berjumlah RM106.81 juta.
Sebanyak RM38.16 juta daripada jumlah itu diagihkan kepada 16,080 peserta Rancangan Tanam Baharu Berkelompok (RTBB), manakala RM68.64 juta lagi diagihkan kepada 17,784 peserta Tanam Semula Komersial (TSK).
Najib berkata, pemberian dividen itu meningkat sebanyak RM12.2 juta berbanding RM94.5 juta pada tahun sebelumnya.
"Sebagai sebuah kerajaan kita tidak pernah berhenti mencari jalan bagaimana hendak menjaga kebajikan rakyat khusunya mereka yang tinggal di luar bandar termasuk pekebun kecil yang diberi perhatian dan bantuan yang sewajarnya.
"Ini kerana masyarakat pekebun dan luar bandar ini merupakan teras kepada sokongan kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian dividen Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Dewan Konvensyen Pekan, di sini. - Bernama