Penerima BR1M layak terima MYTV



KUALA LUMPUR – Seramai 4.2 juta isi rumah yang merupakan penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) di seluruh negara akan menerima dekoder MYTV percuma bagi memboleh­kan mereka menikmati perkhidmatan Televisyen Terestrial Digital (DTT) dikenali sebagai myFreeview.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha itu diharapkan dapat merapatkan jurang digital antara komuniti pedalaman dan bandar pada masa akan datang.

Katanya, pertukaran kepada TV digital itu adalah perubahan terbesar dalam sejarah penyiaran negara sejak merdeka selari dengan perkembangan global untuk beralih daripada sistem analog dan memasuki era digital.

“DTT membantu merapatkan jurang digital, terutamanya di kawasan-kawasan terpencil.

“Menerusi DTT, rakyat Malaysia akan menikmati banyak manfaat seperti kualiti gambar dan bunyi yang lebih baik, lebih banyak saluran siaran percuma tanpa langganan bulanan, akses kepada panduan program elektronik (EPG), sarikata pelbagai bahasa, dan berkemampuan untuk menonton siaran te­levisyen yang berkua­liti,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan siaran digital myFreeview di sini semalam.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohd. Salleh Said Keruak; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Sharifah Zarah Syed Ahmad.-Kosmo


Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :