Kuasa asing: Hadi kurang maklumat atau isu skrip Umno, soal Amanah


 PETALING JAYA: Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat mencemarkan kedudukannya sebagai ulama dan ahli Parlimen kerana mengatakan kuasa asing cuba mencampuri urusan negara dalam isu 1Malaysia Development Berhad.

Sedangkan perkara sebenarnya Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mahu mendapatkan semula aset yang didakwa diperoleh dengan dana yang dicuri dan dibelanjakan di negara itu, kata Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

 “Tuduhan kononnya kuasa asing cuba untuk masuk campur hal ehwal negara jelas disebabkan kekurangan maklumat…atau kemungkinan mengikut skrip biasa Umno-Barisan Nasional sebelum ini bagi mengalih tumpuan isu sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Ahli Parlimen Parit Buntar merujuk surat terbuka Hadi 24 Jun lalu kepada parti politik dalam negara dan menggesa tiada kuasa asing mencampuri urusan dalaman negara.

 “Jangan kita ulang sejarah dengan menjemput pihak asing selesaikan masalah dalaman seperti BMF, Perwaja, Tabung Haji, KWSP, dan terkini isu 1MDB.

 “Apa pun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya.

 “Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf,” kata Hadi dalam surat terbuka itu yang disiarkan di Facebooknya, hari ini.

 Bahkan Hadi yakin, yang pihak mengundang pihak asing hanya semata-mata mahu menang pilihanraya adalah tidak beriman dan kemenangannya itu akan menjadi kemenangan tanpa iman dan budiman.

 Bagi Mujahid, Hadi sepatutnya merasakan tindakan dan siasatan dilakuakn DoJ dalam isu 1MDB dan pelbagai isu lagi akan beri manfaat kepada rakyat.

 Namun berdasarkan surat terbuka Presiden PAS itu, Mujahid merasakan Hadi secara tidak langsung menjadi pembela kepada kleptokrasi kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

 “Saya yakin tiada rakyat Malaysia yang waras mahukan campurtangan negara asing dalam urusan negara. 

“Namun membantu negara asing menangkap perompak besar dari negara kita yang merompak di negara asing dengan menggunakan kekayaan negara kita.

“Ia patut diberi bantuan untuk siasatan demi menjaga maruah negara dan mengembalikan duit negara yang dirompak,” katanya.

 Mujahid berkata, tindakan sebahagian mufti dan pemimpin agama seperti presiden PAS akan menjadi penghalang rakyat menundukkan rompakan mega kekayaan negara.

 “Jika inilah sikap mereka, rakyat perlu membawa mesej yang tegas menolak mentaliti terkepung ini,” katanya.~ sumber

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :