PKR mendakwa terdapat perubahan besar terhadap jumlah bilangan pengundi yang dipindahkan dan didaftarkan ke kawasan Parlimen Wangsa Maju sejak bulan Julai 2016 hingga Mac 2017.
Bendahari Agungnya berkata, dalam tempoh sembilan bulan, terdapat sejumlah 7,408 pengundi baharu dan 6,054 pengundi telah dipindahkan ke kawasan Parlimen tersebut dan menjadikan jumlah pengundi ditambah berjumlah 13,462 orang.
“Peningkatan mendadak dalam tempoh jangka masa sembilan bulan ini telah membuatkan kami mengambil tindakan untuk menyiasat data-data pengundi secara terperinci dan melakukan tinjauan dari rumah ke rumah yang mempunyai jumlah pengundi besar,”katanya ketika sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR, hari ini.
Mengulas mengenai tinjauan tersebut, Yee Kew memaklumkan bahawa empat daerah mengundi iaitu Taman Melati, Seksyen 1 Wangsa Maju, Gombak Utara dan Wangsa Melati telah dipilih bagi menjalani siasatan sejak Julai hingga Disember tahun lalu.
Sehubungan itu, Yee Kew menegaskan bahawa pihaknya telah mengenal pasti kebanyakan individu yang terlibat dan memberi tempoh seminggu untuk mereka tampil bagi memberikan penjelasan.
Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar turut mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengatasi isu pengundi hantu yang berlaku di negara ini.
Menurut beliau, dengan tercetusnya isu ini, ianya menguatkan lagi persepsi mengenai kewujudan pengundi hantu di beberapa kawasan Parlimen lain menjelang PRU ke-14 ini nanti
“Saya pelik mengapa SPR tidak bersungguh dalam mengatasi permasalahan ini. Malah, mengapa tidak diwujudkan Automatic Voter Registration supaya sistem pendaftaran pengundi akan jadi lebih teratur,” katanya.