Parti Amanah Negara Negeri Kelantan pada hari ini, 20/7/2017 telah membuat laporan kepada Penguatkuasa Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan di Balai Islam Lundang berkaitan tuduhan murtad dalam satu ceramah politik yang telah disampaikan oleh Haji Mohd Najmi Zakaria, Ketua Penerangan Pas Kawasan Tanah Merah di perkarangan Madrasah Pak Man Serbuk, Pondok Lama, Tanah Merah pada kira kira jam 9.40 malam, 14/7/2017.
Antara lain ceramah itu menyebut;
PAN ni hok paling sedih sekalinya, PAN ni ibarat kalu kita dalam Islam gat, dalam agama kita, maaf la kasar bunyi, ia sebagaimana orang ingkar perintah Allah, kalu bunyi kok agama gat, ore murtad.
Kata kata ini jelas ditujukan kepada ahli ahli parti Amanah sebab perkataan " PAN" bagi maksud penceramah Pas tersebut adalah merujuk kepada parti Amanah.
Pihak kami memohon supaya ucapan ini disiasat secara serius kerana ianya bukan sahaja melibatkan tuduhan kafir sesama Islam, tetapi boleh menimbulkan kegelisahan dan menganggu ketenteraman awam. Ucapan ucapan seperti ini, jika tidak diambil tindakan sewajarnya, boleh menimbulkan kegelisahan masyarakat dan mencetuskan huruhara dalam masyarakat.
Ucapan ini jelas mengandungi unsur unsur takfir sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 24, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan, Tahun 1985.
Pihak kami juga merancang untuk membuat repot polis di semua Ibu Pejabat Polis Daerah, Negeri Kelantan.
CHE IBRAHIM MOHAMED.
Naib Pengerusi, Parti Amanah Negara,
Negeri Kelantan.