Sukar untuk sesiapa pun menafikan bahawa keputusan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kerugian pertukaran matawang asing atau RCI Forex adalah semata-mata untuk menutup pandangan ramai terhadap skandal 1MDB.
Hanya disebabkan adanya skandal 1MDB yang jauh lebih besar kerugiannya dan juga kerana Tun Mahathir Mohamad sedang menjadi musuh utama untuk menjatuhkan Najib Razak, maka itulah sebabnya RCI Forex itu diwujudkan.
Selain dua sebab tersebut, jika Najib benar-benar ikhlas mahu mencari kebenaran berhubung kerugian perniagaan matawang yang berlaku kira-kira 25 tahun dahulu, beliau tentulah tidak menunggu sehingga 8 tahun selepas menjadi Perdana Menteri baru menubuhkan RCI itu.
Kenapa tidak ditubuhkan RCI Forex seawal menjadi Perdana Menteri pada 2009 dulu lagi?
Bak kata pepatah moden, sekilas ikan di pasar, sudah tahu masakan apa yang sesuai untuknya.
Begitulah dengan RCI Forex ini, niat serta tujuan ia ditubuhkan terlalu mudah untuk difahami. Lagi pula, yang didesak oleh banyak pihak tentang perlunya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja ialah berkaitan skandal 1MDB yang busuk dan hapaknya sedang tersebar ke seluruh dunia, bukannya kerugian urusniga forex.
Kerugian forex cumalah kerugian dalam perniagaan dan individu yang bertanggungjawan seperti disebut oleh Anwar Ibrahim iaitu Nor Mohamed Yakcop sudah pun diminta untuk meletakkan jawatan dan dilarang terlibat urusan kewangan negara.
Bagaimanapun, Nor Mohamed Yakcop dijadikan Menteri Kewangan Kedua ketika era Tun Abdullah Badawi dan sekarang pula menjadi Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, cabang utama pelaburan kerajaan.
Kini RCI Forex sudah pun ditubuhkan, anggota jawatankuasa telah dilantik dan ia diberi tempoh selama tiga bulan untuk menyiapkan laporan serta mencadangkan tindakan kepada kerajaan.
Kenapa tempohnya tiga bulan?
Sekali lagi, niat dan nawaitunya mudah sekali dikesan. Tempoh tiga bulan yang diberikan itu bermakna RCI Forex harus menyiap dan menghantar laporannya kepada kerajaan sebelum berakhirnya bulan Oktober depan.
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi baru-baru ini memberi bayangan bahawa PRU 14 hanya akan diadakan selepas September dan tidak mungkin sebelum tarikh itu.
Najib pula sebagai Menteri Kewangan dijangka akan membentangkan Belanjawan 2018 pada 27 Oktober depan. Sudah tentu belanjawan kali ini sarat dengan gula-gula dan umpan politik untuk tujuan menang pilihanraya.
Entah berapa bilion lagi bakal ditaburkan untuk memenangi hati rakyat dan menggula-gulakan pengundi, meskipun hakikatnya kerajaan pimpinan Najib semakin tidak berduit sehingga bayaran elaun untuk guru pelatih Institut Pendidikan Guru pun akan dimansuhkan mulai tahun depan.