Apakah proses untuk memantapkan proses demokrasi dengan penubuhan kerajaan menerusi pilihanraya umum setiap lima tahun sekali di negara ini yang tidak pernah gagal diadakan sejak merdeka akan dapat diteruskan untuk kali ke 14.
Twit saya yang pendek yang dalam masa singkat dikunjungi oleh hampir 10,000 berhubung dengan peristiwa kekacauan di forum itu membayangkan kebimbangan ini. Saya hanya mencatitkan " Bayangkan apa akan terjadi pada kempen Pilihanraya 14 bila Mahathir dibaling dengan botol dan kerusi berterbangan di forum Nothing To Hide2 hari ini"
Kekecohan itu tercetus apabila jawapan Mahathir menunjukan logik dan rasional polis bertindak balas berasaskan SOP apabila anggota mereka terbunuh dalam peristiwa Memali di Baling.
Penanya adalah jelas ejen provokasi. Penyokongnya tahu jika Mahathir dibiarkan meneruskan jawapannya maka beliau akan dapat menterbalikan meja kepada penanya dan akan dapat mempengaruhi hadirin kerana jawapannya yang pendek itu pun telah menyebabkan penanya diboo dan diberikan sambutan tepukan bergmuruh. Itulah kekuatan Mahathir yang luar biasa dari dulu hingga sekarang dalam usianya sudah mejangkau 92 tahun.
Maka itu beliau harus disekat dari meneruskan penjelasannnya dengan cara orang yang tidak terpelajar atau dengan cara yang kurang ajar.
Bagi saya Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin telah bersuara dengan kewibawaan seorang pemimpin apabila beliau mengutuk kejadian itu walaupun beliau menyedari hakikat bahawa masyarakat pastinya meanggap itu adaah perbuatan terancang oleh pihak UMNO.Beliau tidak mahu sesiapa disalahkan sebelum selesai siasatan polis.
Tohmahan kepada UMNO tidak dapat dielakkan kerana kejadian provokasi terhadap pembangkang sebelum ini banyak didatangkan oleh orang UMNO termasuk yang bergelar Datuk tetapi dalam pada itu terdapat kemungkinan bahawa ada pihak yang melakukan provokasi ini untuk menimbulkan simpati kepada Tun Mahathir.
Bagi saya Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia dan bukan hanya Perdana Menteri bagi BN sahaja, sewajarnya tidak berdiam diri dalam hal ini. Beliau sepatutnya telah tampil kehadapan dengan segera mengutuk kejadian ini untuk meyakinkan rakyat terhadap penerusan perjalanan proses demokrasi yang seimbang , yang tidak sahaja memihak parti kerajaan.
Kerajaan tidak seharusnya terlihat sabagai "Penyelamat" kepada perusuh dan pengacau yang diketahui sebagai penyokong kerajaan.
Ketika rakyat berada dalam prasangka ini, Datuk Seri Najib sewajarnya membuat kenyataan untuk menjamin Pilihanraya Umum ke 14 akan tetap diadakan mengikut yang dijadualkan oleh Perlembagaan kerana kerajaan mempunyai keupayaan mengawal keselamatan untuk menjamin demokrasi berjalan dengan lancar tanpa meganggu ketenteraman awam.Pilihanraya boleh ditangguhkan tetapi tidak boleh dibatalkan.
Jaminan ini juga akan memperbaiki imej Malaysia di luar dan dalam negara yang tercemar oleh peristiwa semalam kerana terlihat seperti ada usaha terancang untuk menyekat perjalanan demokrasi yang sihat di negara ini.