DAP macam budak-budak: Nasrudin

KUALA NERUS - Kenyataan wakil rakyat DAP supaya Pas tidak menyibuk dalam penganjuran arak sebaliknya beri tumpuan kepada Kelantan disifatkan sebagai dangkal dan kebudak-budakan.
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, isu arak membabitkan kepentingan umat Islam dan sewajarnya Pas bertindak dalam hal tersebut sambil menegaskan bahawa tumpuan Pas bukan hanya di Kelantan, tetapi bertapak di seluruh negara.
Nasrudin Hassan. “Apabila mereka menempelak kita jaga Kelantan sahaja, jangan jaga Selangor, itu adalah satu kenyataan dangkal, tidak bertanggungjawab, bersifat keanak-anakan, kebudak-budakan, tidak cerdik dalam berpolitik!
“Mana boleh kita sebagai parti hanya terhad satu negeri sahaja. Kalau begitu tiada maknalah penglibatan kita dalam politik tanah air. Cuma kita boleh kata Selangor jaga Selangor, Pahang jaga Pahang, mana konsep persekutuannya, undang-undangnya, perlembagaannya,” katanya.
Beliau berkata kepada media selepas menyampaikan ceramah di Fastaqim 2.0 di pantai Tok Jembal, semalam.
Sebelum ini, Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim menempelak Pas supaya tidak mencampuri urusan penganjuran pesta arak, Better Beer Festival 2017 di Selangor.
Beliau menempelak Pas bahawa kadar Aids dan isu sosial Kelantan lebih tinggi berbanding Selangor walaupun tiada penganjuran pesta arak di Kelantan.
Nasrudin berkata, tindakan penganjuran secara terbuka itu memperlihatkan penganjur cuba mempromosikan minuman alkohol secara terbuka, seolah-olah mempersendakan dan mencabar sensitiviti umat Islam.
“Ini kita tidak boleh benarkan. Kalau agama mereka membenarkan minum arak dan meminumnya secara tertutup dalam rumah mereka, itu hak mereka dan kita tidak pernah ganggu mereka sebelum ini.
“Tetapi apabila mereka ingin mengadakan pesta secara terbuka, memperkenalkan pula pelbagai jenama maka saya kira ini adalah satu tindakan yang terlalu angkuh untuk mencabar sempadan sensitiviti umat Islam,” katanya.
Beliau berkata, jika masyarakat boleh menerima kerajaan bertindak tegas dalam isu rokok, sepatutnya perkara tersebut tidak menjadi masalah dalam isu arak.
Jelasnya, kerajaan mengambil langkah menghalang kempen hisap rokok secara terbuka di televisyen serta mewujudkan kempen zon bebas merokok di tempat awam yang boleh diterima oleh masyarakat negara ini.
“Kenapa arak hendak dipromosikan demikian (secara terbuka) dalam keadaan arak mempunyai implikasi lebih besar kepada kesihatan dan mental masyarakat kita. Jadi saya rasa (penganjuran arak secara terbuka) tidak wajar,” katanya.

Subscribe to receive free email updates: