PRU14: 'BN sudah 95 peratus bersedia'

Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata BN sudah 95 peratus bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.
"Daripada skala satu hingga sepuluh, saya perlu akui kita sudah mencapai (persediaan) sekurang-kurangnya pada tahap 9.5.
"Saya sendiri yang mengetuai tugas (persediaan) yang diberikan Presiden BN (Datuk Seri Najib Razak)," katanya dalam wawancara bersama The Star.
Beliau sekali lagi berkata "hari besar", merujuk kepada PRU ke-14, kemungkinan besar akan dibuat selepas sambutan Tahun Baru Cina yang dijadual pada 16 Februari 2018.
Namun, katanya lagi, bayangan yang diberikannya itu "tidak bermakna PRU diadakan sebaik selepas perayaan tersebut".
Pada tahun 2008, kerajaan membubarkan parlimen pada 13 Februari, enam hari selepas Tahun Baru Cina.
Penggal kali ini akan berakhir pada 24 Jun 2018 dan pilihan raya perlu dijalankan dalam masa 60 hari selepas parlimen terbubar.
Zahid berkata, antara tugas yang digalasnya adalah untuk memastikan BN sepenuhnya bersedia dalam PRU ke-14.
"Kami akan turun ke medan sebaik sahaja Perdana Menteri memukul gong (tanda bermulanya PRU)," katanya lagi.

Subscribe to receive free email updates: