Dilaporkan melalui pelbagai media bahawa satu himpunan besar-besaran melibatkan UMNO, Pas dan NGO tertentu akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya pada 22 Disember depan sebagai membantah tindakan Amerika mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Sehubungan itu, Zahid Hamidi menyeru segenap lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan kaum agar turut hadir menyatakan sokongan mereka.
Ehem, ehem, ehem...ini himpunan membantah Amerika dan Israel atau himpunan politik untuk kepentingan UMNO dan BN menjelang PRU 14?
Sejujurnya, dari segi UMNO dan kerajaan, tindakan menghantar memorandum melalui Pemuda UMNO ke Kedutaan Amerika minggu lalu dan kemudian Najib sendiri hadir dalam Sidang Luar Biasa OIC di Turki, adalah langkah permulaan yang dianggap memadai dalam usaha membantah sikap biadap Amerika dalam isu Baitulmaqdis ini.
Susulan daripada dua tindakan, ia bukanlah dengan berdemo dan menjerit bersama dengan Pas dalam perkara itu. Ia tidak mendatangkan banyak kesan kepada Amerika.
Lagi pula, kerja berdemo ini adalah untuk mereka yang tidak ada kuasa. Orang yang ada kuasa seperti Najib seharusnya bertindak berdasarkan kuasa yang ada padanya sebagai langkah seterusnya.
Sepertimana yang disebut dalam blog ini beberapa hari lalu, jika benar Najib begitu marah dan mengecam Amerika serta ingin menunjukkan tindak balasnya kepada Donald Trump, langkah paling wajar yang perlu diambilnya ialah dengan segera membatalkan pembelian pesawat Boeing dan menarik balik bantuan berpuluh bilion ringgit untuk mengukuhkan ekonomi Amerika yang diumumkannya tidak lama sebelum ini.