Cabaran ketua Pemuda Umno kepada Dr Mahathir tidak masuk akal, kata Syed Iskandar Syed Jaafar Al-Mahdzar.
Peguam menyifatkan cabaran Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kepada pemimpin pembangkang Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar pembangkang memenangi Putrajaya dengan majoriti 2/3 sebagai tidak masuk akal.
Syed Iskandar Syed Jaafar Al-Mahdzar berkata tidak pernah berlaku parti pembangkang menang pertama kali dengan majoriti super.
“Saya jangkakan lepasan Oxford akan keluarkan hujah yang lebih baik.
“Dia cuma cuba mengelirukan ahli parti yang jahil,” katanya merujuk kepada Khairy yang melanjutkan pelajaran ke universiti unggul di United Kingdom itu.
Beliau menjawab ucapan Khairy di persidangan Pemuda Umno di mana menteri belia dan sukan itu mencabar Dr Mahathir membuktikan kebolehan dan menang pilihan raya umum ke-14 dengan majoriti besar di era media sosial sekarang.
Beliau berkata Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun dari 1981, berbangga dengan kejayaan memenangi 5 pilihan raya, setiap satunya dengan majoriti 2/3.
Khairy berkata pentadbiran Dr Mahathir jauh berbeza dengan era pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekarang kerana Dr Mahathir menggunakan pendekatan tidak berkompromi sehinggakan pentadbirannya digambarkan sebagai “kuku besi”, mengabaikan prinsip demokrasi.
Media arus perdana dikawal sepenuhnya dan kekurangan media alternatif, tambahnya.
Syed Iskandar berkata Dr Mahathir membawa membawa Barisan Nasional menang dengan bergaya kerana kekuatan sedia ada.
Beliau menjelaskan Parti Bersatu Sabah menang di Sabah pada 1985 dengan majoriti mudah dan begitu juga Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang pada 2008.
“Selangor dan Pulau Pinang kekal pada 2013 dengan majoriti super kerana kekuatan sedia ada dan prestasi baik kerajaan PR,” katanya.
Bagaimanapun, pengundi di Kelantan dan Terengganu memberikan kemenangan kepada PAS pada pilihan raya umum 1990 dan 1999 untuk menewaskan BN.
Syed Iskandar berkata tiada siapa sangka gabungan pembangkang akan menang majoriti besar kerana “banyak perkara tidak menyebelahi mereka”.
Beliau berkata lazimnya parti pemerintah mahukan majoriti mudah untuk membuat pindaan pada perlembagaan tanpa sokongan pembangkang.
“Perlembagaan persekutuan dan undang-undang tubuh negeri hanya menyatakan ketua negeri melantik perdana menteri, menteri besar atau ketua menteri yang pada pandangannya mendapatkan sokongan majoriti wakil rakyat,” tambahnya.