Bukan saja menegur, mengkritik dan bertanya soalan mengenai 1MDB dianggap suatu dosa besar dan kesalahan berat sehingga ramai yang dipecat, dibuang kerja serta dipenjara yang nama-nama mereka tidak perlu diperkatakan lagi, malah memberi pendapat yang berbeza dan berpaksikan kebenaran juga dilarang sama-sekali.
Sebelum ini, bekas Menteri Kewangan Kedua, Nor Mohamed Yakcop telah diminta berhenti sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad, cabang pelaburan utama kerajaan, hanya kerana beliau bercakap benar dan meletakkan beban kesalahan kepada dirinya sendiri dalam keterangan kepada RCI forex yang seluruh dunia tahu kewujudan siasatan itu hanyalah untuk memburukkan nama Tun Mahathir.
Kesediaan beliau mengakui kesalahan itu dianggap suatu dosa besar dan bertentangan dengan kehendak pemerintah yang saban hari mengaku bersikap terbuka, lalu akhirnya diminta mengundurkan diri daripada jawatan yang dipegangnya.
Terbaru, artis ternama Sheila Majid juga menerima nasib yang sama. Hanya kerana pandangannya yang berbeza dengan pemerintah, pelbagai kecaman telah ditujukan kepadanya.
Tindakan beliau bersuara yang berbeza dengan kerajaan dianggap suatu kesalahan besar sehingga pemimpin-pemimpin UMNO dan kerajaan, termasuk "pengangkat beg" Rosmah Mansor turut menghentam beliau.
Golongan artis, sama seperti rakyat biasa yang lain yang turut membayar cukai GST dan menerima pelbagai kesan lain akibat kegagalan kerajaan memberi keselesaan, sebenarnya turut berhak bersuara dan menyatakan pendapat mereka.
Apakah golongan artis hanya wajib akur dan wala' kepada kerajaan sepanjang masa, manakala suara mereka yang berbeza akan dianggap suatu dosa besar kepada negara?
Lagi pula, jika dilihat apa yang diluahkan oleh Sheila, tiada apa yang salahnya daripada apa yang disuarakannya itu. Beliau hanya meluahkan tentang harga makanan yang mahal, nilai ringgit lemah, kos sara hidup tinggi, ketiadaan peluang pekerjaan serta mahu kerajaan mengembalikan negara ke landasan yang sebenar?
Selebihnya beliau menyuarakan tentang suara rakyat yang mengeluh letih serta marah kerana diperah untuk menanggung hutang yang tidak mereka lakukan.
Di mana salahnya apa yang ditulis oleh Sheila dalam laman makro Twitternya itu?
Bukankah apa yang ditulisnya itu adalah pandangan biasa rakyat Malaysia yang boleh didengar di mana-mana sekarang ini?
Read More / Baca Lagi >>