PRU14: 'Bagi ahli politik 'bedak-bedak' duit kepada petani dan nelayan' - Pemuda Umnp

Sumbangan wang tunai kepada petani dan nelayan yang diumumkan dalam Bajet 2018 seharusnya diagihkan oleh ahli politik dan bukannya dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima, kata perwakilan Pemuda Umno.
Perwakilan Kedah Mohamed Noor Mohamed Amin berkata, ia bertujuan untuk memberi bahan kempen kepada ahli politik menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.
“Dekat pilihan raya ni, bagi mileage kepada orang politik pula.
“Bagi anggota parlimen dan anggota dewan undangan negeri (ADUN), suruh bedak-bedak (agih-agih) duit tu.
“Kepada anggota parlimen dan ADUN yang dapat, bagilah sikit habuan kepada ketua pemuda untuk bedak,” katanya dalam Perhimpunan Agung Umno di PWTC hari ini.
Bedak merupakan loghat Kedah yang bererti agih.
Noor meminta sumbangan wang tunai diberikan kepada ahli politik daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berda di dalam dewan ketika itu.
Najib dalam pembentangan Bajet 2018 sebelum ini mengumumkan sumbangan wang tunai RM200 sebulan selama tiga bulan kepada petani dan nelayan sementara mereka menunggu hasil padi atau musim angin monsun berakhir.
Noor berkata RM42 juta diperuntukkan untuk Kedah bagi tujuan itu.
Dalam ucapan awalnya, ketua pemuda Umno bahagian Baling itu turut menggesa pihak berkuasa menyiasat kekayaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarganya.
“Mahathir dilahirkan dan dibesarkan di Alor Setar, saya pun sama.
“Kita tahu bagaimana ekonomi di Kedah. Rakyat tanam padi (untuk meneruskan kehidupan),” katanya.
Noor juga menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang didakwa pecah amanah oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung skandal forex Bank Negara ketika zaman Mahathir.
Laporan RCI itu mendakwa sejumlah RM31.5 bilion lesap dalam aktiviti tukaran wang asing dalam tempoh 1992 hingga 1994.
RCI itu turut mendakwa bekas penasihat Bank Negara Tan Sri Nor Mohamed Yakcop merupakan orang yang bertanggungjawab dalam urusan forex.
Selain itu, menurut jawatankuasa itu, perkara itu melibatkan kesalahan pecah amanah di bawah Seksyen 406 dan 409 Kanun Keseksaan.
Laporan itu menyebut Mahathir dan timbalannya ketika itu bersubahat dengan Mohamed Yakcop serta menyembunyikan fakta tertentu daripada kabinet.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :