Bangunan yang menempatkan ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur tidak akan dilelong kepada sesiapa.
Sebaliknya, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Muhtar Suhaili yang mengesahkan perkara itu berkata dakwaan tersebut hanya fitnah semata-mata oleh pihak yang gagal memberikan persepsi buruk kepada parti Islam itu.
"Insya-Allah pejabat ini tidak dilelong seperti yang disebar oleh para pemfitnah, pendengki dan pembenci.
"Setelah fitnah RM 90juta tidak laku, maka terpaksa mencipta fitnah lain pula untuk membina persepsi buruk kepada PAS," kata Muhtar dalam kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook.
Malaysiakini semalam dimaklumkan bahawa bangunan yang menempatkan ibu pejabat PAS setinggi lima tingkat itu akan dilelong.
Menurut sumber, penjualan bangunan yang mula diduduki pada tahun 2007 itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Harian PAS Pusat.
Bangunan ibu pejabat PAS itu menempatkan pejabat pentadbiran di tingkat 1, surau di tingkat mezzanine, kedai serbaneka di tingkat bawah serta bilik mesyuarat utama di tingkat 5.
Mengulas lanjut, Muhtar memberi peringatan kepada penyebar fitnah agar insaf dengan dosa yang dilakukan.
"Dalam hidup ini ada dosa pahala, usahlah kerana kebencian, fitnah turut menjadi makan minum kalian.
"Usahlah begitu, hidup ini sementara, bertaubatlah selagi nyawa dikandung badan," katanya mengingatkan anggota parti agar tidak terpedaya dengan fitnah yang disebarkan.
'Naik taraf kepada 12 tingkat'
Sementara itu Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad turut menegaskan bangunan itu tidak akan dijual sebaliknya dinaik taraf dari lima tingkat ke 12 tingkat.
"PAS tidak akan menjual pejabat agung di Jalan Raja Laut. Malah kami sedang membuat kajian untuk menambah tingkat lima ke 12 tingkat," kata Iskandar yang juga Exco Selangor kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, Iskandar berkata kerja-kerja menaiktaraf memerlukan tempoh masa yang panjang kerana banyak faktor harus diberi pertimbangan termasuk syarat-syarat ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Kami sedang meneliti syarat-syarat pembangunan DBKL bagi zon tersebut.
"Banyak pertimbangan (seperti) syarat-syarat pembangunan termasuk bilangan tempat letak kereta dan caj pembangunan yang tinggi yang perlu dibayar," kata Iskandar.