Kes Cikgu Idzahril pukul murid ditangguh

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
NIBONG TEBAL: Kes seorang guru Noor Idzahril Ahmad, 52, yang didakwa memukul muridnya pada Ogos lalu, ditangguhkan pada 19 Februari depan oleh Mahkamah Majistret Jawi di sini, hari ini.
 
Majistret Hizween Azleena Othman Kamal menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan gagal mengemukakan laporan perubatan yang sepatutnya diserahkan hari ini.
 
Peguam Mohd Fadhly Yaacob yang mewakili Noor Idzahril berkata, pihaknya memohon kes dilepas tanpa dibebaskan berikutan pihak pendakwaan gagal menyerahkan laporan perubatan pada sebutan semula kes kali ketiga.
 
"Asas permohonan kami adalah Seksyen 323 Kanun Keseksaan perlu ada elemen kecederaan tetapi sehingga sekarang, pihak pendakwaan masih gagal menyerahkan laporan perubatan.
 
"Ini bermakna pertuduhan adalah pramatang. Justeru, kami mohon Noor Idzahril dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan," katanya dilaporkan BH Online.
 
Noor Idzahril yang juga guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Acheh, dihadapkan di Mahkamah Majistret Jawi pada 11 Disember lalu kerana didakwa memukul seorang murid Tahun Tiga SK Sri Sentosa pada 2 Ogos lalu.
 
Mengikut fakta kes, Noor Idzahril didakwa memukul murid berkenaan selepas dia berbuat bising ketika Noor Idzahril sedang mengajar di kelas bersebelahan.
 
Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
 
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Uzair Abd Munir.
 
Kisah Cikgu Noor Idzahril mendapat perhatian netizen sejak beberapa minggu lalu, termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan sokongan disampaikan menerusi tanda pagar #pray4cikguidzahril.
 
Sementara itu, lebih 100 penyokong Noor Idzahril termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman di perkarangan mahkamah bagi memberikan sokongan moral kepada beliau.
 
Turut hadir, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS), Datuk Azih Muda.
 
 

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :