KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli diberikan tempoh selama tujuh hari untuk segera memohon maaf kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Abdul Rahman juga turut meminta Rafizi menarik balik kenyataannya yang mendakwa kononnya beliau memberi kontrak Ekspo Negaraku 2017 kepada 'abangnya', Noor Raslan Md Dahlan.
Abdul Rahman berkata, peguamnya sudah menyerahkan surat tuntutan berhubung kedua-dua perkara itu kepada wakil Rafizi semalam dan tindakan lebih serius akan dilaksanakan jika Ahli Parlimen Pandan itu gagal memohon maaf serta menarik semula tuduhan palsunya.
Katanya, tindakan itu dilakukan selepas meneliti pandangan peguamnya susulan tindakan Rafizi membuat tuduhan itu pada 11 Disember tahun lalu yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook rasminya.
"Setelah meneliti pandangan undang-undang yang diberikan peguam saya, saya mengarahkan peguam memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi Ramli.
"Sekiranya Rafizi Ramli gagal mematuhi surat tuntutan itu dalam tempoh ditetapkan, saya akan mengarahkan peguam memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi Ramli," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Pada 11 Disember tahun lalu, Rafizi melalui akaun Facebook rasminya antara lain mendakwa Abdul Rahman memberi kontrak Ekspo Negaraku 2017 kepada 'abangnya' Noor Raslan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PICO Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd.
Bagaimanapun, selepas kira-kira 10 minit video tuduhan itu dimuat naik, rakaman berkenaan dipadamkan.
Abdul Rahman menafikan dakwaan itu dan menegaskan tidak memiliki pertalian darah dengan Noor Raslan, selain mempunyai bukti Rafizi menghubungi Noor Raslan sebaik selesai sidang medianya menerusi mesej Facebook dan bertanya sama ada Noor Raslan adalah abangnya.
Abdul Rahman berkata, peguamnya, Tetuan Raja Riza & Associates gagal menyerahkan surat tuntutan bertarikh 5 Januari kepada Rafizi secara terus pada hari berkenaan dan 8 Januari kerana Ahli Parlimen Pandan itu tiada di pejabatnya di Pusat Khidmat Parlimen Pandan.
"Surat tuntutan berkenaan diterima oleh Mohd Shariffudin, dipercayai kakitangan di Pusat Khidmat Parlimen Pandan (pada 8 Januari)," katanya.