Terowong dasar laut: Dua pengarah bergelar Datuk direman enam hari

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Seorang pengarah eksekutif kanan sebuah syarikat berpangkat 'Datuk' direman enam hari, bagi membantu siasatan berkaitan projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.
 
Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil membenarkan reman bermula hari ini hingga Isnin.
 
Permohonan reman dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Pengarah Eksekutif Kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd berusia 59 tahun itu.
 
Individu berkenaan ditahan kira-kira jam 8.45 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
 
Peguam suspek, Hamidi Mohd Noh, berkata anak guamnya ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan dan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.
 
Sementara itu, di Pulau Pinang pula, seorang Timbalan Pengerusi sebuah syarikat pemaju berpangkat Datuk ditahan reman selama enam hari, bagi kes yang sama.
 
Perintah tahanan reman sehingga 15 Januari depan itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Majistret Pulau Pinang, Muhammad Azam Md. Eusoff.
 
Semalam SPRM merampas dokumen di beberapa pejabat agensi kerajaan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), yang mempunyai kaitan dengan projek berkenaan.
 
Agensi itu turut menyerbu beberapa syarikat berkaitan yang beroperasi di sekitar negeri ini.
 
 
 
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata serbuan itu dibuat bagi membantu siasatan kes berkaitan projek mega, yang akan menghubungkan Persiaran Gurney, di sini ke Bagan Ajam di Seberang Perai Utara.
 
Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer, yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.
 
Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaannya yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran membabitkan pertukaran tanah kerajaan negeri.
 
Pelaksanaannya juga dibantah dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.
 
Oktober tahun lalu, Kerajaan DAP Pulau Pinang mengakui gagal menyerahkan laporan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut kepada Kementerian Kerja Raya, dengan alasan jangkaan pelaksanaan projek terbabit masih lambat, iaitu pada 2023.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :