Ada apa di sebalik harga murah KR1M 2.0?

Pengumuman kerajaan untuk memulakan operasi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 disambut dengan curiga serta tanda tanya oleh seorang pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN).
Ketua pemudanya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata janji Datuk Seri Najib Razak bahawa barangan berjenama yang dijual di KR1M 2.0 adalah lebih murah memang tidak meyakinkan.
Katanya model perniagaan KR1M 2.0 tidak jelas.
Menurut apa yang dilaporkan media, kata Nik Nazmi, model baru itu berkonsepkan kepada tiga kategori model perniagaan iaitu kerjasama strategik antara kerajaan dengan pengilang, pengeluar dan pengedar, operasi perniagaan kendalian pemilik serta penjenamaan bersama.
Kedai-kedai akan menyertai program itu pula didakwa bakal memperoleh keuntungan akibat jumlah orang yang akan datang membeli pada harga murah.
Umum KR1M 2.0 pada Okt
"Bagaimana barangan berjenama ini dapat dijual pada harga murah berbanding kedai lain?
"Adakah wujud subsidi kerajaan? Jika ya, kerajaan wajar berterus-terang kerana sebelum ini mereka memotong subsidi dengan alasan golongan termiskin dibantu menerusi skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Sept 2017 Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai penutupan KR1M dan pekerja terbabit diarah mengemas barangan yang ada dua minggu sebelum itu.
Mereka yang ditemui juga mendakwa penutupan itu bersifat sementara namun tidak dimaklumkan bila KR1M terbabit akan beroperasi semula.
Kira-kira sebulan kemudian perdana menteri mengumumkan KR1M akan disusun disusun semula sebagai KR1M 2.0.
Untuk permulaan katanya 50 kedai akan dijadikan KR1M 2.0 sebelum diperluaskan kepada 3,000 dalam tempoh tiga tahun.
Semasa membentangkan belanjawan 2018 itu Najib berkata KR1M 2.0 menyediakan lima barang keperluan asas dengan harga rendah iaitu beras, gula, minyak masak, tepung dan gas asli cecair (LPG).
“Di samping itu, 50 jenis barangan pengguna berjenama dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran,” katanya.
Muncul menjelang PRU
Pengumuman itu kemudian disambut baik Pemuda Umno apabila mereka mencadangkan ketua kumpulan Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos dicadangkan untuk menguruskan KR1M 2.0 berkenaan.
Cadangan itu dibuat ekoran kebolehan ketua Umno Sungai Besar itu menjual ikan dengan harga murah dengan mengetepikan peranan orang tengah.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: