
KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulama (MSU) PAS bakal memutuskan keperluan penggunaan sumpah baiah talak tiga atau memansuhkannya pada 24 Februari ini, kata mursyidul amnya, Hashim Jasin.
Katanya, MSU PAS akan bertemu termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang namun lokasi masih belum ditetapkan.
“Setakat yang saya dengar, ada pandangan yang rasakan perlu (sumpah baiah talak tiga) dan ada kata tidak perlu,” katanya.
“Jadi semua ini akan dibincang secara terperinci dalam mesyuarat MSU pada 24 Februari ini dan satu keputusan muktamad akan dibuat selepas itu,” ujarnya dipetik Berita Harian.
Beliau mengulas perbezaan pandangan dua pemimpin tertinggi PAS sebelum ini berhubung keperluan melafazkan baiah talak tiga bagi calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ketua Dewan Ulama Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata parti bakal menggugurkan lafaz itu kerana PAS telah kukuh dan ahlinya juga setia.
Namun dibantah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob yang menganggap ia satu keperluan di negeri itu.