Awal pagi Isnin yang lepas, HBO ada menyiarkan filem "Our Brand Is Crisis" lakonan mantap Sandra Bullock. Sebuah filem yang berdasarkan kepada kisah benar di Bolivia yang mana seorang bekas Presiden bernama Gonzalo Sánchez de Lozada telah bertanding kali kedua setelah 5 tahun meninggalkan jawatan Presiden. Watak Sánchez de Lozada digantikan dengan Pedro Castillo.
Apa yang menarik mengenai filem ini, bingkisan ceritanya mirip kepada apa yang berlaku di Malaysia di mana bekas Perdana Menteri kini mengetuai pakatan pembangkang untuk berkuasa kali kedua setelah meninggalkan jawatan tersebut. Dan sikap yang ditunjukkan oleh Castillo amat mirip kepada tindakan Tun Dr Mahathir iaitu menggunakan krisis sebagai modal berkempen. Dalam masa yang sama, cuba menabur janji-janji manis supaya diberikan peluang untuk berkuasa. Bekas presiden itu juga sanggup membelakangkan ideologi dan pegangan beliau semata-mata untuk meraih undi.
Semalam Tun berjanji lagi kononnya akan melibatkan parti pembangkang dalam pemilihan jawatan-jawatan terpenting negara. Sesuatu janji jika benar ianya boleh dilaksana, sepatutnya beliau laksanakan semasa memegang tampuk pemerintahan Kerajaan. Amat aneh jika seorang pemimpin autokratik seperti Tun tiba-tiba menjadi begitu terbuka untuk menerima pandangan orang lain.
Dalam satu babak dalam filem tersebut, ditunjukkan bahawa Castillo berjanji bahawa beliau akan mendapatkan pungutan suara rakyat sebelum bersetuju untuk mendapatkan pinjaman IMF. Sebaliknya, apabila berkuasa Castillo telah terus berhubung dengan pihak IMF tanpa pungutan suara seterusnya menyebabkan rakyat Bolivia marah dan mengadakan tunjuk perasaan menentang keputusan Castillo.
Mesejnya jelas. Pemimpin veteren seperti Sánchez de Lozada atau Tun Mahathir tahu bagaimana untuk memenangi pilihan raya dan sanggup menjanjikan bulan dan bintang walaupun umum mengetahui bahawa janji-janji tersebut bukanlah dapat dilaksanakan oleh pemimpin tersebut. Ianya berdasarkan sejarah pentadbiran dan track record mereka sendiri. Adakalanya rakyat alpa dan leka dek kelunakan janji manis yang ditaburkan.
Namun apabila kembali berkuasa, tidak mustahil semua janji tersebut dimungkiri dan mereka kembali kepada sifat dan sikap sebenar lalu mentadbir negara secara autokratik. Dalam hal ini, yang menjadi mangsa adalah rakyat sendiri. Adakah anda mahu pisang berbuah dua kali? Anda juga jangan terkejut jika lebih banyak janji-janji tidak masuk akal akan keluar dari mulut Tun kerana apa yang penting adalah untuk mendapatkan kuasa.
*Fikir-fikirkan.