‘Pemenjaraan Rafizi hantar mesej salah pada dunia’


351c1a01-8bb9-4999-9851-28d891eb599d

KEADILAN DAILY


Tindakan mahkamah memenjarakan Naib Presiden KEADILAN memberi mesej yang salah kepada dunia tentang pembocor maklumat skandal kerajaan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Seperti yang semua tahu, Rafizi beberapa tahun lalu telah menggemparkan negara dengan maklumat salah laku dan penyelewengan wang rakyat melalui projek National Feedlot Corporation (NFC).

“Namun, hingga kini, belum ada sebarang sabitan atau hukuman yang dikenakan terhadap mereka yang terlibat dengan skandal besar NFC ini,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam kenyataan.

Menurutnya, tindakan ini adalah satu bentuk kemunafikan kerana penyangak sebenar dalam skandal itu masih bebas.

“Ini adalah satu hipokrasi, di mana mereka yang berjuang demi rakyat dan keadilan dizalimi, manakala mereka yang menghabiskan wang rakyat terus bebas dan langsung tidak dikenakan apa-apa tindakan.

“Rakyat sedang memerhati dan menilai tindak-tanduk pemerintah.

“Keputusan terhadap Rafizi dan Johari ini adalah satu kezaliman yang nyata. Kita perlukan lebih ramai rakyat Malaysia untuk berani bangkit bersama dalam perjuangan melawan kezaliman dan menegakkan keadilan buat Rafizi, Johari dan semua yang dizalimi di bumi tercinta ini,” katanya.

Rafizi dan bekas kerani bank Johari Mohamad semalam dihukum penjara selama 30 bulan selepas disabitkan dengan kesalahan membocorkan data perbankan akaun National Feedlot Corporation (NFC) Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Sesyen dalam penghakimannya berkata pendakwa berjaya membuktikan tertuduh melanggar Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) melampaui keraguan munasabah.

Bagaimanapun, hakim membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan dan mengekalkan kos ikat jamin pada RM15,000.

Rafizi dan Johari didakwa pada 2012 mengikut Seksyen 97 Bafia kerana mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank berkaitan NFC dan pengerusinya Datuk Seri Mohd Salleh Ismail, suami Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Jalil.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :