PRU14: Tinggal beberapa minggu lagi untuk ‘move on’

Pilihan raya umum ini, pelbagai pemimpin menjalinkan pelbagai kerjasama. Rakyat tidak sabar menghadapi pilihan raya supaya dapat 'move on'.

Semua sudah bersedia. Hampir semua. Baik jentera kerajaan mahupun parti politik.
Warganegara yang prihatin juga dipercayai sudah membuat keputusan untuk mengundi pihak mana. Sebahagiannya mahu pilihan raya umum disegerakan.
Spekulasinya ialah Dewan Rakyat akan dibubarkan selepas proses persempadanan semula kawasan pilihan raya selesai, yang kelihatannya lebih menyukarkan pihak pembangkang berbanding Barisan Nasional (BN).
Tidak kiralah siapa yang menang, BN atau Pakatan Harapan (PH), atau parlimen tergantung yang memerlukan kerajaan campuran dengan penyertaan parti ketiga, apa yang dikehendaki ialah kestabilan dan kesinambungan kehidupan bernegara.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengatur pilihan raya umum sejak 1959. Ia ditubuhkan pada 1957, sebulan selepas Malaya mencapai kemerdekaan. Dengan pengalaman mengatur pilihan raya umum sebanyak 13 kali, SPR pasti sudah bersedia untuk menjalankan tugasnya sebaik saja Dewan Rakyat dibubarkan. Begitu juga dengan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti polis.
Begitu juga dengan parti politik. Umno berpengalaman menyertai pilihan raya umum sejak 1955. Baik selaku parti utama Perikatan mahupun BN.
Sayap Umno yang sentiasa memainkan peranan penting bagi kemenangan parti kerajaan itu, Pergerakan Wanita Umno juga pasti sudah bersedia. Malah BN telah pun menguji jentera pilihan rayanya melalui “dry run” (percubaan). Bendera BN juga sudah berkibar di merata-rata tempat. Agensi kerajaan yang turut berperanan besar dalam kempen pilihan raya seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) juga dipercayai telah menyempurnakan “dry run”.
Pembangkang juga sudah bersedia, walaupun jentera pilihan raya mereka tidaklah secekap apa yang dimiliki BN. Dana yang mereka miliki juga tidak sebesar yang ada pada BN.
Tetapi kelemahan besar pembangkang adalah mereka tidak mempunyai perpaduan yang sekukuh BN. Mereka juga tidak memiliki parti dominan untuk memberi kepimpinan yang tidak dapat dicabar. Ditambah pula ada 2 parti pembangkang utama baharu yang belum pernah teruji dalam pilihan raya umum, walaupun pemimpin mereka sudah lama terlibat dengan pilihan raya.
Pembangkang terbahagi kepada 3. Pertama, PH. Kedua, Gagasan Sejahtera dan ketiga, parti-parti kecil lain yang tidak terikat dengan PH dan Gagasan.
Tidak seperti BN yang terdaftar, PH dan Gagasan hanya bergerak pada nama. PH sudah memohon untuk didaftar tetapi ia belum diluluskan. Sementara Gagasan tidak membuat permohonan untuk mendaftar.
Pengalaman pilihan raya
Secara rasmi, inilah pertama kali PH dan Gagasan menyertai pilihan raya umum. Sementara BN menyertai pilihan raya sejak tahun 1974 iaitu sebanyak 10 kali.
Dalam BN pula, Umno, MCA dan MIC bertanding pilihan raya umum sejak 1955. Ini bermakna ketiga-tiga parti itu telah menyertai pilihan raya umum sebanyak 14 kali. Tetapi kalau Umno sekarang dikira sebagai Umno Baru, maka ia baru bertanding sebanyak 6 kali.
Di pihak pembangkang, parti paling lama pernah bertanding pilihan raya umum ialah PAS iaitu sejak 1955. Bermakna sama seperti Umno, MCA dan MIC, ia telah bertanding sebanyak 14 kali.
Tetapi di kalangan parti Pakatan Harapan, parti yang paling lama bertanding ialah DAP iaitu sejak 1969, bermakna ia telah bertanding sebanyak 11 kali. Tetapi sebelum DAP ditubuhkan, pemimpin-pemimpinnya adalah aktivis Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang berpangkalan di Singapura. Mereka menyertai pilihan raya umum pada 1964 ketika mana Singapura adalah sebahagian daripada Malaysia.
PKR pula mula menyertai pilihan raya umum tahun 1999. Bermakna mereka sudah masuk bertanding sebanyak 4 kali walaupun dalam tahun 1999 dan 2004, mereka bertanding sebagai Parti Keadilan Nasional. Gabungan antara Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) berlaku sebelum pilihan raya 2004. Namun oleh kerana pendaftaran bagi kedua parti itu tidak sempat diluluskan maka dalam pilihan raya itu, PKR masih dikenali sebagai Keadilan dan calon dari PRM menggunakan lambang parti itu.
PRM sendiri adalah parti lama yang mula bertanding pada pilihan raya umum tahun 1959 sebagai komponen Front Sosialis Rakyat Malaya (SF), sebuah gabungan parti yang berdaftar. Walaupun secara rasmi mereka telah bergabung dengan Keadilan untuk menjadi PKR pada 2003, ada antara ahlinya menghidupkan semula PRM pada tahun 2005 apabila didapati parti itu tidak dibubarkan secara pendaftaran ketika penyatuan itu dilakukan.
Baru tapi lama
Dalam pada itu, walaupun PPBM dan Amanah adalah parti yang belum pernah menyertai pilihan raya umum, pemimpin-pemimpinnya adalah ahli politik yang telah banyak kali menyertai pilihan raya umum dalam parti-parti lama mereka iaitu Umno dan PAS.
Pengerusi PPBM yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan usia 93 tahun mula bertanding pilihan raya pada 1964 dan memenangi kawasan parlimen Kota Setar Selatan mewakili Perikatan. Beliau kemudian bertanding pilihan raya umum sebanyak 10 kali sebelum persaraannya sebagai perdana menteri.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :