"Oleh itu, saya mengarahkan anggota Beruas, Taiping, dan Batu Gajah untuk keluar dewan untuk sepuluh hari bermula 26 Mac 2018," katanya.
Pandikar, dalam satu surat 14 Mac lalu kepada ketiga-tiga pemimpin DAP itu berkata kata-kata mereka itu satu bentuk penghinaan kepada Dewan Rakyat dan memberi mereka peluang untuk memohon maaf secara terbuka di dalam Dewan.
Katanya, kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan tindakan tegas diambil.
Pandikar dilaporkan tersinggung dengan kenyataan mereka sebelum ini bahawa speaker tidak sepatutnya menjadi "sekutu untuk menutup skandal rasuah" dan “sebagai speaker, Pandikar gagal menegakkan kebenaran, justeru, perkara paling mulia untuk dilakukannya adalah meletakkan jawatan."
Ini susulan keputusan Pandikar yang menolak usul segera mereka berhubung isu rampasan kapal persiaran milik ahli perniagaan Jho Low dan soalan berkaitan 1MDB.
Kapal The Equanimity dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia di Benoa, Bali, akhir bulan lalu.
Pemfailan mahkamah oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat mendakwa kapal itu dibina dan diselenggarakan dengan menggunakan lebih daripada AS$250 juta yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.