
Pakatan Harapan akan menggunakan salah satu daripada logo 4 parti komponennya, kata Dr Mahathir.
PUTRAJAYA: Kesemua 4 parti dalam Pakatan Harapan akan hanya menggunakan satu logo pada pilihan raya umum akan datang, kata pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad di sebalik desas-desus Parlimen akan dibubarkan esok.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan logo parti mana yang akan digunakan, sebaliknya berkata ia akan diumumkan pada satu perhimpunan di Pasir Gudang, Johor, esok.
“Saya sebelum ini telah menyatakan kita akan menggunakan satu logo. Tapi kita tidak menyatakan logo mana.
“Pada masa ini kita telah memutuskan untuk menggunakan (satu logo) tetapi kita akan umumkan esok. Jadi anda dijemput ke Pasir Gudang dan akan ada speaker yang terbaik termasuk saya. Saya akan umumkannya,” katanya selepas bermesyuarat dengan pemimpin atasan PKR, DAP, PPBM dan Amanah di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
PH masih gagal didaftarkan untuk membolehkan ia bertanding sebagai gabungan sah dengan satu logo, walaupun permohonan dibuat tahun lepas.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan sebaliknya berkata ia masih meneliti beberapa dokumen termasuk beberapa aduan dikemukakan oleh ahli PPBM.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata soal calon yang akan bertanding akan diselesaikan oleh parti masing-masing.
“Kita boleh selesai sebelum hari penamaan calon,” katanya.