
KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang memberikan kad yang menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) secara percuma kepada rakyat, kata Datuk Ab Aziz Kaprawi.
Timbalan Menteri Pengangkutan itu berkata, kementerian ketika ini sedang lakukan perbincangan dengan pihak Touch ‘n Go dan kad berkenaan dijangka diedarkan pada awal tahun depan.
“RFID ini memang teknologi terkini yang digunakan tanpa bateri, mampu buat pengesanan yang canggih, cekap dari jauh dengan cepat.
“Ini boleh beri kemudahan untuk dikesan melalui sistem ini. Apabila lalu sempadan negara, tidak perlu berhenti lagi, boleh terus jalan tanpa wujudkan kesesakan.
“RFID juga boleh bekerjasama dengan PDRM dan kastam untuk kesan kereta yang dibawa masuk ke Malaysia tetapi tidak balik ke negara asing,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ismail Md Salleh berkata, sistem RFID di plaza tol sedang diuji di beberapa buah tol di dalam negara.
RFID berfungsi seperti sistem ERP yang digunakan di Singapura, di mana pengguna hanya perlu mendapatkan pelekat tag RFID dan pengimbas di plaza tol akan lakukan imbasan.
Ia akan diimbas menggunakan gelombang elektromagnetik dalam frekuensi antara 850MHz ke 950MHz. Imbasan pula boleh dibuat dari sejauh 27 meter dengan masa respon hanya 10 milisaat.