
PETALING JAYA: Walaupun Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dikritik Pakatan Harapan (PH), PAS berkata pihaknya menyedari kepentingan projek itu dan mahu ia diteruskan.
Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak mahu ECRL dibatalkan dan sekiranya partinya berada dalam kerajaan, mereka mahu ia diteruskan dan mungkin dengan beberapa perubahan pada perjanjian.
“Kita kena sedar Malaysia mempunyai hubungan bukan sahaja di rantau Asean tapi di peringkat antarabangsa, kita bersetuju kerana boleh menghubungkan Malaysia dengan negara luar.
“Kecuali parti yang ada hubungan dengan Singapura yang menganggap pelaburan Singapura terancam bila berlakunya projek ini,” kata Hadi.
Beliau tidak menamakan parti yang dimaksudkan itu. Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Rusila, Terengganu hari ini.
Pembinaan ECRL sepanjang 688km akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dengan fasa pertama melibatkan laluan landasan kereta api elektrik melalui Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dengan jajaran sepanjang 531.6km dan jajaran sisihan sepanjang 68.7km.
Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad berkata gabungan itu mahu mengkaji semula projek itu sekiranya menang pilihan raya umum ke-14.
Zahid: Rakyat pantai timur takkan setuju batal ECRL
Najib terima memorandum orang kampung bantah jajaran ECRL