Beliau berkata isu seperti kewarganegaraan dan sekolah Tamil sebenarnya boleh diselesaikan semasa pengerusi PPBM itu memegang tampuk kepimpinan tertinggi negara selama 22 tahun itu.

PUTRAJAYA: Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam menyifatkan kebanyakan isu dan permasalahan pernah dihadapi masyarakat India disebabkan sikap tidak mengambil berat kebajikan kaum itu semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.
Beliau yang juga menteri kesihatan berkata isu dibangkitkan seperti kewarganegaraan dan sekolah Tamil sebenarnya boleh diselesaikan semasa pengerusi PPBM itu memegang tampuk kepimpinan tertinggi negara selama 22 tahun itu.
“Disebabkan kesemua masalah yang dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang penyelesaian, hari ini masalah melibatkan kaum India menjadi masalah legasi,” katanya pada sidang media di kementeriannya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Dr Mahathir iaitu bekas Presiden MIC Tun S Samy Vellu tidak melakukan sebarang kerja untuk masyarakat India dan tindakan mengalahkan parti MIC pada pilihan raya ke-14 (PRU14) adalah tindakan yang betul.
Dr Subramaniam berkata penyelesaian menyeluruh terhadap permasalahan kaum India bermula pada 2010 selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil alih kepimpinan pada 2009, melibatkan penyelesaian lebih 7,000 kes kewarganegaraan melalui Kempen MyDaftar.
Dr Subramaniam berkata di bawah kepimpinan Najib, kerajaan BN menyediakan peruntukan besar hampir RM1 bilion membawa perubahan dalam penambahbaikan serta membaiki sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
“Sekarang semua jadi mewah. Pada masa itu tidak dibuat apa-apa. Saya rasa Dr Mahathir perlu melihat balik apakah sumbangan beliau semasa menjadi perdana menteri. Sebagai perdana menteri, beliau sebenarnya boleh saja menyelesaikan masalah di bawah kementerian dan agensi kerajaan tertentu,” katanya.
Dr Subramaniam yang ditemui di luar perkarangan Perdana Putra selepas menghadiri pengumuman pembubaran Parlimen sebelum itu berkata MIC akan memuktamadkan senarai calon PRU14 pada minggu hadapan dan setakat ini, senarai itu hampir 80% siap.
Beliau berkata pihaknya akan berbincang bersama mesyuarat tertinggi Barisan Nasional (BN) dalam memutuskan senarai calon PRU untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) khususnya di negeri Selangor, Perak dan Johor.
“Bermula sekarang, jentera pilihan raya kita bersedia dan momentum kita begitu baik dan lancar,” katanya.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot hanya tersenyum menyatakan kesediaan beliau dicalonkan sebagai ahli Parlimen Serian jika diberi mandat oleh BN bertanding pada PRU14.
“Saya sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat di kawasan itu,” katanya secara ringkas.