Yang Berhormat Puan Hajjah
Dr. Fuziah Salleh

Pertama sekali saya mengucapkan tahniah kepada RTM kerana membuat siaran langsung sesi tanya jawab di Parlimen yang tidak dapat saya lakukan semasa saya menjadi Menteri Penerangan dan juga gagal diteruskan oleh Tan Sri Rais Yatim yang menggantikan saya kemudian walaupun beliau mencubanya.
Terus terang saya nyatakan saya membuat pertimbangan tidak melakukannya kerana ketika itu politik perkauman dan agama menjadi senjata utama parti-parti politik untuk meraih sokongan . Saya belajar akibat dari siaran langsung Perhimpunan Agung UMNO yang menjadi senjata memakan tuan bila Perdana Menteri Abdullah Badawi mahu menunjukkan kebebasan dan demokrasi baru dieranya yang menyebabkan bukan Melayu terkejut apa yang dibincangkan sekian lama secara tertutup dalam perhimpunan UMNO.
Apabila Parti Pembangkang(PH) menjadi kerajaan Menteri Penerangannya Govida Sih mengambil keputusan berani membuat siaran langsung sesi soal jawab yang memberikan gambaran keyakinan kerajaan PH untuk menghadapi apa juga akibatnya.
Siaran ini mendapat sambutan hangat dan popular dalam sekelip mata. Kesannya amat mendalam di kalangan rakyat kerana mereka baru terlepas dari pemerintahan Datuk Seri Najib yang menekan keras kebebasan media yang tidak ada tolak bandingnya dalam sejarah negara sehingga siaran televisyen dibenci dan akhbar tidak lagi dibaca orang.
Yang jelas dalam masa yang singkat siaran langsung ini menaikkan imej demokrasi kerajaan baru PH dan kesan negatif kepada pembangkang
Antaranya:
1- BN sebagai sebuah parti yang tidak dapat menerima kekalahan dan lebih mengutamakan permainan politik untuk menutup penyelewengan,rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan mahu menunjukkan kerajaan dahulu lebih baik dari kerajaan PH yang baru berusia setahun jagung.
2-Mendedahkan Parti UMNO sebagai parti yang perkauman Melayu dan Pas sebagai parti pelampau agama walaupun kedua parti itu tidak bergabung. Impak yang pertama kearah ini ialah apabila Anuar Musa wakil BN membuat soalan yang disokong oleh seorang wakil Pas dalam menolak persamaan antara bukan Islam yang didakwa telah digambarkan oleh Menteri Agama JPM Dr. Mujahid Yusuf Rawa .
Bagaimanapun Timbalan Menteri Hal ehwal Agama di JPM Dr.Hajjah Fuziah Salleh telah secara bijak mengekang perbincangan dalam soal hkum agama didalam sesi soaljawab Parlimen sebaliknya menyatakan kesediaan untuk berdialog dan berbincang dengan mereka secara tertutup. Ini telah mengelakkan dari berlakunya perbincangan sensitif yang boleh mengapikan perasaan perkauman dan ke Islaman di Parlimen.
3-Walaupun menteri-menteri dan timbalan menteri PH pertama kali berada dalam sesi soal jawab Parlimen yang biasanya panas dan genting tetapi ternyata Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir tidak membuat pilihan sebarangan sebaliknya menggambarkan penelitiannya yang terperinci, memilih yang berkualiti dan berkebolehan,cekap dan mempunyai kekuatan yang tersendiri dalam tugas yang diberikan dari yang termuda hingga kepada yang lain-lain yang belum berpengalaman.
Jawapan kepada soalan tambahan mereka telah menampakkan keupayaan mereka untuk memberikan fakta dan info terkini yang menunjukkan mereka serius dan cepat mempelajari sesuatu dan terkini dengan tugas mereka walaupun dalam masa yang singkat.
Mereka telah menampakkan kekuatan untuk mudah dibuli oleh pembangkang yang lebih suka bermain politik dan retorik. Merka memberikan imej yang tinggi kepada kabinet Mahatir.
4-Mendedahkan penguasaan Bahasa Malaysia yang hebat di kalangan ramai pemimpin-pemimpin atau menteri-menteri dari DAP kerana selama ini tidak ramai menteri bukan Melayu dalam kerajaan BN. Ini sekali gus memperbaiki imej DAP yang selama ini dianggap sebagai parti cauvanis Cina.
Selama ini pun tidak disedari ramai bahawa persidangan-persidangan DAP adalah lebih banyak dalam Bahasa Melayu dan Inggeris dibandingakn dengan perhimpunan MCA yang menggambarkan imej keCinaan dari ucapan, perbahasan hingga kepada pemidangnya.
Menerusi siaran langsung sesi soal jawab itu, Penggunaan Bahasa Malaysia yang lebih luas di kalangan bukan Melayu yang terserlah membangkitkan keyakinan yang tinggi di luar Parlimen apabila terdedah secara meluas di kalangan rakyat berbilang kaum.
Hal ini menambahkan keyakian saya bahwa perpaduan kaum di Malaysia lebih berkembang pesat menerusi politik dan bukannya menerusi persekolahan.
Kesan perpaduan poltik melimpahkan keyakinan keakar umbi dan akan menyebabkan mereka yang percaya kepada pengasingan diri dari sistem pelajaran kebangsaan merasa terhina dan semakin sedar kesilapan mereka mengasingkan diri dari Sistem Pelajaran Kebangsaan yang meletakkan mereka terasing dari aliran Perdana yang mempunyai nilai pengikhtirafan negara.
Semoga dengan perkembangan ini kita tidaklah lagi akan mengkagumi rakyat Malaysia bukan melayu berkebolehan berbahasa Malaysia dengan baik setelah lebih 50 tahun merdeka kerana Parlimen sendiri menggambarkan bahawa ramai anggotanya dari berbilang kaum yang mewakili berbagai bidang profesional telah pun menguasai Bahasa Malaysia.
Semua ini tidak disedari selama ini kerana tidak terdedah.
Hidup Malaysia Baru! Siaran langsung Sesi Soal Jawab Parlimen telah memberikan kesan positif dan meyakinkan masa depan generasi baru.