ASEAN Gusar Ketegangan Di Semenanjung Korea


PUTRAJAYA: Menteri-Menteri Luar ASEAN melahirkan kebimbangan ke atas ketegangan yang semakin meruncing di Semenanjung Korea.

Ia antara perkara yang disuarakan pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-Amerika Syarikat (AS) di Washington, semalam.

"Kami mendesak Korea Utara mematuhi sepenuhnya tanggungjawab negara itu hasil Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) berkaitan dan undang-undang antarabangsa," kata mereka dalam satu kenyataan, hari ini.

Mesyuarat berkenaan turut membincangkan isu Laut China Selatan dan kedua-dua pihak menekankan kepentingan resolusi pertikaian secara aman mengikut prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

"Kami mengulangi prinsip dipersetujui pemimpin kami sebelum ini dan meminta perjanjian awal dibuat berhubung rangka kerja dan kesimpulan kod tatalaku bagi Laut China Selatan dengan segera," katanya.

Menteri-Menteri Luar ASEAN turut menghargai komitmen AS terhadap ASEAN termasuk sokongan kepada pembinaan Komuniti ASEAN dan usaha bersepadu serantau, selain Pemusatan ASEAN serta mekanisme membawa ASEAN dalam seni bina rantau Asia Pasifik yang sering berubah.

"Kami juga mengalu-alukan komitmen Presiden AS, Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS kelima dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) Ke-12 di Filipina serta Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Vietnam pada November 2017," katanya. - BHOnline

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :