Ahli Kumpulan G25, Johan Arriffin berkata, dakwaan kononnya pindaan Akta 355 tiada kaitan dengan pengenalan hukuman hudud adalah satu 'pembohongan terang-terangan'.
“Orang selalu salah faham dan rasa PAS sebuah parti agama atau keliru dan fikir mereka adalah ulama.
“Mereka lupa PAS ialah sebuah parti politik yang terdiri daripada sekumpulan ahli politik. Sama seperti Umno dan parti politik lain, mereka hanya memancing undi,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, salah satu sebab sesetengah umat Islam takut bersuara kerana mereka takut digelar anti-Islam atau kafir.
“Saya rasa kita perlu berhenti melabel orang yang tidak bersetuju dengan kita sebagai kafir, seperti cara PAS lakukan. Setiap orang ada pendapat sendiri dan kita perlu menghormatinya.
“Masalahnya orang tidak mahu hidup di sebuah negara Taliban, di mana segala-galanya adalah terhad.”
Bekas timbalan pengarah Yayasan Sabah itu berkata, Islam lebih daripada sekadar hukuman.
“Ketakutan dan ancaman bukan perkara baik untuk Islam. Kita perlu ikut ajaran Islam sebenar, yang penuh belas kasihan.
“Membantu orang dan melakukan perkara baik juga penting (dalam Islam). Ia bukan hanya mengenai hukuman.”
Kumpulan 22 rakyat Sabah dan Sarawak itu terdiri daripada bekas atau masih menjadi ahli politik mewakili parti pemerintah serta pembangkang, bekas pegawai tinggi kerajaan, ahli perniagaan dan profesional.
Mereka berpendapat RUU 355 perlu ditolak kerana Malaysia adalah sebuah persekutuan sekular dengan kedaulatan undang-undang berasaskan warisan undang-undang biasa.
“Jangan kita lupa, kebebasan beragama ditekankan dan diberi jaminan dalam rundingan penggabungan Malaysia. Hukuman hudud tidak pernah berada dalam agenda.
“Jika hukuman hudud dimasukkan, projek Malaysia itu mungkin ditolak rakyat Sabah dan Sarawak.
“Semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan yang membentuk kontrak sosial ketika negara kita ditubuhkan – perlu dihormati dan dipertahankan,” menurut kenyataan itu.
Ia seterusnya menyebut sekularisme bermakna sistem undang-undang kebanyakannya perlu berdasarkan undang-undang umum yang digunakan untuk semua rakyat, manakala undang-undang agama atau adat boleh digunakan untuk perkara peribadi dan keluarga bagi ahli masyarakat tertentu.
“Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan keadilan jenayah perlu dikendalikan mahkamah sivil, dengan membenarkan negeri (mencipta dan menghukum) kesalahan dilakukan orang beragama Islam yang bertentangan ajaran agama itu, kecuali berhubung perkara termasuk dalam Senarai Persekutuan.
Read More / Baca Lagi >>